LEMBAGA Tabung Haji (TH) diberi pengiktirafan daripada Kerajaan Arab Saudi sebagai pembimbing haji terbaik apabila meraih Anugerah Labaittom bagi kategori Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam.
Anugerah tersebut diraih TH pada Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang diadakan di Jeddah, Arab Saudi.
Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 itu telah disertai 56 negara seluruh dunia.
TH dalam kenyataan memaklumkan, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah telah menyampaikan anugerah berkenaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menurut TH, keupayaan membimbing jemaah haji Malaysia agar mempunyai pengetahuan yang baik dalam ibadah haji sentiasa mendapat pujian dan diiktiraf pelbagai pihak terutama Kerajaan Arab Saudi.
Mohd Na’im berkata, anugerah yang diterima itu merupakan hadiah paling bermakna buat TH yang meraikan ulang tahun ke-60 tahun ini.
“Anugerah ini juga merupakan pengiktirafan buat negara kerana berjaya melahirkan sebuah institusi unik yang kini menjadi contoh kepada negara Islam yang lain.
“Malaysia telah mendapat pengiktirafan antarabangsa atas usaha memberi bimbingan ibadah haji dan program kesedaran dalam aspek menjaga kesihatan kendiri, peradaban serta kepentingan kebersihan persekitaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baca artikel berkaitan: Untung bersih Tabung Haji menurun kepada RM1.03 bilion, perbelanjaan haji meningkat
Setiap tahun, TH menganjurkan kursus-kursus haji secara fizikal dan dalam talian di samping menyediakan pembimbing ibadah haji untuk sesi bimbingan di Tanah Suci semasa jemaah mengerjakan ibadah haji.
Secara keseluruhan, TH menyediakan lebih 500 Pengkursus Haji Tanah Air (Pekta) dan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas) untuk membantu jemaah.
Antara kursus-kursus yang dianjurkan adalah kursus asas haji; kursus intensif haji; kursus perdana haji dan kursus khas haji.
TH juga menganjurkan Muzakarah Haji setiap tahun selepas selesai musim haji bagi meningkatkan lagi keberkesanan bimbingan termasuk menambah baik modul kursus haji serta penerbitan yang dihasilkan demi kepentingan umat Islam semasa melaksanakan ibadah di Tanah Suci.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram