ANAK penyanyi legenda rock & roll, mendiang Elvis Presley iaitu Lisa Marie Presley,54, meninggal dunia akibat serangan jantung, hari ini.
Beita duka itu dimaklumkan sendiri ibunya, Priscilla Presley yang setia berada di sisi mendiang ketika mendapatkan rawatan di hospital.
“Dengan berat hati, saya ingin berkongsi berita sedih bahawa anak saya, Lisa Marie sudah meninggalkan kami.
“Lisa seorang anak pengasih, kuat dan wanita penyayang yang pernah saya kenal,” katanya memetik laporan Dailymail.

Dilaporkan, pasukan paramedik dikejarkan ke kediaman Lisa di Calabasas pada pukul 10.37 pagi, semalam, selepas mendapat aduan seorang wanita mengalami serangan jantung, berdasarkan maklumat dikongsi Craig Little, iaitu jurucakap Jabatan Bomba.
Maklumat daripada sumber hartanah menunjukkan Presley adalah penghuni kediaman terbabit, lapor AP.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Los Angeles memberitahu, Lisa diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan menunjukkan tanda-tanda masih bernyawa, sebelum dikejarkan ke hospital berhampiran di West Hills.

Dua hari lalu, Lisa menghadiri Anugerah Golden Globe bersama ibunya di Beverly Hills, Amerika Syarikat bagi memberi sokongan kepada aktor Austin Butler yang melakonkan watak ayahnya dalam filem Elvis.

