PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu menubuhkan satu jawatankuasa khas bertujuan mengumpul dan mengkaji setiap salah laku keterlaluan di Kementerian Kewangan (MOF) sebelum Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ini kerana menurut kenyataan Perdana Menteri, skala salah laku di kementerian itu adalah terlalu banyak.
Katanya, kekangan pegawai dan jumlah kes rasuah yang meningkat menyukarkan SPRM untuk menyemak dengan terperinci setiap perancangan, peruntukan, perolehan atau tender yang diluluskan MOF.
“Oleh demikian satu jawatankuasa khas perlu ditubuhan untuk membuat dapatan apa yang sedang terjadi dalam MOF dan mencari langkah untuk ketirisan ini dihentikan.
“Untuk SPRM ‘menyerbu’ keseluruhan MOF, ia sudah tentu amat sukar kerana kementerian ini besar dan tindakan sedemikian seperti ‘mencari jarum di padang rumput’ sahaja.
“Tetapi sekiranya wujud jawatankuasa khas itu, pegawai-pegawai kanan MOF sendiri boleh betulkan kesilapan yang sudah berlaku. Sekiranya tangkapan tidak dibuat pun ia menutup ruang ketirisan yang berlaku,” katanya seperti dilapor Berita Harian, hari ini.
Semalam, Anwar dilaporkan berkata, beliau mengesan banyak kecurangan yang dianggapnya keterlaluan di MOF.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kecurangan itu dilihatnya ketika menyemak fail-fail di kementerian berkenaan.
“Namun urusan untuk menyiasat bukan urusan saya. Urusan saya adalah menetapkan dasar dan menegakkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya.
Jais menambah, kenyataan Anwar wajar dilihat sebagai peluang kepada penjawat awam di MOF dengan melaporkan salah laku yang diketahui kepada pihak berwajib.
“Inilah masa untuk hadir ke SPRM dan membuat laporan kerana anda pastinya tahu kegiatan yang dilakukan rakan sejawat anda. Tidak perlu risau kerana setiap daripada anda akan dilindungi mengikut Akta Pemberi Maklumat,” katanya.
Katanya lagi, dalam kes itu, SPRM sebenarnya mengetahui apa terjadi dan kemungkinan ada kes yang sudah dibuka kertas siasatan tetapi belum sesuai untuk dihebohkan kepada masyarakat.
“SPRM mempunyai pegawai-pegawai mereka yang diletakkan di bahagian integriti dan pastinya mereka itu melaporkan kepada SPRM untuk disiasat sekiranya mengesan kecurangan seperti yang didakwa oleh Perdana Menteri,” katanya.
Malah Jais berkata, rakyat sendiri sudah mengetahui ketirisan yang terjadi di dalam MOF terutamanya kumpulan kontraktor serta pembida tender kerajaan.
“Ia adalah rahsia umum yang diketahui oleh rakyat kerana kita sentiasa berurusan dengan pegawai kementerian itu, terutamanya kepada mereka yang ingin masuk tender, perolehan mahupun pembelian barangan.
“Masalah-masalah itu timbul ketika berurusan malah tidak hanya terjadi dalam MOF sahaja tetapi kementerian-kementerian lain,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram