Sebelum ini, Aaron Wan-Bissaka dilupai oleh penyokong selepas pertunjukan yang semakin lama semakin teruk.

Kehilangan keyakinan diri kelihatan jelas dan ditambah pula dengan penyokong United meragui sama ada Wan-Bissaka cukup bagus bermain untuk pasukan Erik Ten Hag.

Mereka mengecam ketika beliau kembali kepada asas bola sepak dan mengambil latihan persendirian kerana seolah-olah ‘belajar bermain bola’.

Penyokong menggesa United untuk menjual Wan-Bissaka pada musim panas lalu dan berkata beliau bukan lagi pemain yang dijanjikan ketika dia tiba dari Crystal Palace namun, sehingga kini, kelibatnya masih berlegar-legar di Carrington.

Ketika beliau jatuh, tiada siapa yang tolong kerana mereka berasa ia membazir masa untuk cuba ‘menghidupkan semula’ kerjaya yang tidak mempunyai potensi untuk berbunga.. kecuali jika individu itu pemain kegemaran mereka.

Sebagai penyokong bola sepak yang kerap dalam media sosial, jelas masyarakat mempunyai ‘star boy’ mereka. Star boy itu lah yang akan diberi perhatian dan dijaga dengan lebih baik di  mata penyokong dan secara jelasnya, itu banyak menjejaskan prestasi Wan-Bissaka.

Beliau merasa tidak kehendaki lagi oleh penyokong tetapi hanya seorang yang yakin dengan dirinya, iaitu Erik Ten Hag.

Sejak beliau tiba, Ten Hag bermula dengan prinsip ‘kosong-kosong’ di mana semua pemain diberikan ‘fresh start’ dan itu yang sebenarnya diperlukan Wan-Bissaka sejak mengalami kecederaan dan bergelut untuk memulakan semula kerjayanya. Dengan bimbingan Ten Hag, Wan-Bissaka bermula dari bawah, dan tidak sekali pun beliau bersungut.

Beliau tidak ada menghantar mesej tersembunyi dalam media sosial, beliau tidak mengadu kepada mak ayahnya kerana diketepikan oleh pasukan dan tidak mengadu kepada media. Beliau hanya fokus kepada diri sendiri kerana sedar itu yang paling penting.

Kini, Wan-Bissaka kelihatan lebih yakin di atas padang dan diberikan peluang yang banyak oleh seorang jurulatih yang percaya kepada kebolehan dirinya. Dan bukan Wan-Bissaka sahaja yang hidup semula di bawah Ten Hag, tetapi Rashford dan Jadon Sancho juga.

Rashford juga mengalami satu fasa dalam kerjayanya di mana beliau berasa tidak boleh buat apa-apa dan ingin mencari kelab lain untuk nafas baharu. Kini, beliau kembali menjadi Marcus Rashford MBE yang menjaringkan gol dan enyum di atas padang.

Jadon Sancho hilang daripada radar buat sementara waktu selepas mengaku kepada Ten Hag bahawa beliau hilang keyakinan diri dan jurulatihnya sedia membantu.

Ten Hag tahu kebolehan Sancho dan ingin memberikan permulaan baharu kepadanya. Sancho kini mengikut program khas, jauh daripada Carrington dan media sosial, di mana dia boleh menumpu perhatian. Jika Wan-Bissaka dan Rashford boleh ‘bernyawa’ semula, ia tidak mustahil untuk Sancho melakukan benda yang sama.

Kita tidak pernah terfikir betapa pentingnya untuk bukan hanya yakin dengan diri sendiri tetapi yakin kepada orang lain juga. Dan Ten Hag akan menjadi manusia pertama yang akan yakin dengan pemainnya walaupun penyokong meraguinya.

*Penulis adalah graduan kewartawanan UiTM.