Tiada gajet, tak boleh bercakap. Pertandingan senyap, salah satu cara elak ketagihan alatan moden

Dari Penulis

ADAKAH anda seorang yang suka termenung dan berangan tidak kena tempat? Jika ya, anda layak untuk mencabar diri memasuki pertandingan senyap. Kedengaran aneh, namun ia merupakan salah satu pertandingan yang diadakan setiap tahun di Korea Selatan.

Malah, cabaran ini mendapat sambutan hangat dan begitu ramai orang awam berminat untuk mencubanya. Tidak kira sama ada pelajar, suri rumah, pekerja kerajaan mahupun golongan profesional seperti doktor, jurutera atau peguam terlibat dalam penyertaan tersebut.

Pun begitu, walau beribu penyertaan diterima, hanya 60 individu sahaja yang akan dipilih sebagai pesaing dalam pertandingan itu. Sebelum menyertainya, peserta tidak dibenarkan untuk menggunakan sebarang peranti pintar. Bermakna, tiada telefon, permainan video dan sebagainya. Malah, peserta juga dilarang untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Pendek kata, peserta hanya perlu termenung sepanjang cabaran dijalankan.

Ia mungkin kelihatan mudah, namun ada syarat yang diletakkan oleh penganjur untuk memilih juara dalam acara tersebut. Tempoh 90 minit diberikan pada setiap peserta. Sepanjang pertandingan berlangsung, individu yang terlibat tidak dibenarkan untuk melakukan apa-apa aktiviti selain daripada duduk, baring dan mendiamkan diri.

Pada masa sama, mereka juga tidak dibolehkan untuk melihat jam dan tidur. Penyertaan akan terbatal serta-merta sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan gagal dipatuhi. Semasa cabaran berlangsung, kakitangan penganjur akan menyediakan perkhidmatan mengurut dan air sebagai minuman kepada peserta. Ia bertujuan untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku ke atas mereka.

Pertandingan senyap yang dijalankan di Korea Selatan.

Bagi memudahkan ia ditonton oleh orang awam, tempat terbuka dipilih sebagai tempat yang paling sesuai untuk acara berkenaan. Taman awam di Seoul antara salah satu lokasi pertandingan senyap dijalankan. Berpusu-pusu penonton datang ke taman dengan payung masing-masing untuk menyaksikan juara pertandingan.

Kesemua peserta akan duduk di atas helaian kain atau karpet kecil sebelum memulakan acara. Juri akan memeriksa nadi peserta setiap 15 minit dan ia merupakan prosedur utama yang akan menentukan pemenang. Seterusnya, individu dengan nadi paling tenang dan stabil akan dipilih sebagai johan di akhir program.

Antara gelagat para peserta.

Pada tahun 2016, juara pertandingan senyap telah disandang oleh seorang ‘rapper’ Korea Selatan dikenali sebagai Shin Hyo-Seob. Kadar denyutan yang paling tenang dan stabil menjadi penyebab dia terpilih sebagai johan dan berjaya menewaskan 60 peserta lain. Menariknya lagi, acara ini mendapat sambutan dari tahun ke tahun dan kini jumlah penyertaan telah ditambah menjadi seramai 150 peserta.

Sebenarnya, pertandingan senyap yang juga dikenali sebagai ‘space out’ ini dibuat bertujuan untuk mempromosikan kehidupan yang sihat dan menenangkan. Dengan kata lain, bebas daripada rasa tertekan sekali gus dapat menikmati hidup lebih baik. Maklum saja, masyarakat masa kini sibuk bekerja dan terlibat dalam  aktiviti penggunaan gajet sehingga ada yang terlupa untuk berehat.

Sejarah pertandingan senyap ini bermula apabila ia diasaskan pada tahun 2014 oleh seorang artis visual tempatan, WoopsYang. Pengalaman mengalami sindrom burnout suatu ketika dahulu menjadi cetusan idea kepada wanita ini untuk mewujudkan cabaran tersebut. Burnout merupakan istilah psikologi yang digunakan untuk menggambarkan keletihan melampau secara fizikal dan mental akibat tekanan berat.

Peserta tidak dibenarkan menggunakan sebarang alat komunikasi, juga tidak dibenarkan bercakap antara satu sama lain.

Selain Korea Selatan, Taiwan, Beijing, Rotterdam dan Hong Kong turut menganjurkan pertandingan senyap setiap tahun. Menurut sumber South China Morning Post Education, kaji selidik yang dibuat menunjukkan generasi muda di Hong Kong sukar mengawal ketagihan mereka terhadap telefon pintar. Hampir 80 peratus mengatakan penggunaan gajet memberi kesan melampau terhadap rutin harian. Manakala 72 peratus lagi mengakui ia mengakibatkan gred peperiksaan mereka merudum.

Perkara yang hampir serupa melanda dunia masa kini menjadi antara sebab beberapa tempat yang terlibat menganjurkan pertandingan tersebut. Setiap acara membawa harapan untuk membantu mengubah ketagihan masyarakat kini terhadap telefon pintar. Malah, rata-rata orang awam dan peserta menyokong kegiatan itu diadakan secara kerap. Ini disebabkan oleh kesibukan kerja atau tugasan yang banyak melibatkan penggunaan peranti.

Berbalik kepada pertandingan, hadiah yang disediakan untuk pemenang bukan calang-calang. Kebanyakannya memiliki nilai hebat sehingga membuatkan peserta berlumba-lumba untuk menjdi johan. Antara ganjaran yang pernah diberikan adalah tiket penerbangan, wang tunai, trofi dan sijil.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Saya bukan main jin!” Tok Dewata bongkar rahsia seni persembahan ‘Main Teri’

Nama Tok Dewata kembali menjadi bualan hangat apabila seni persembahan Main Teri yang melibatkan beliau tular di media sosial.  Namun...

More Articles Like This