Ibu Tunggal – Nilai semula matlamat hidup, jangan terus meratap hiba. Bangkit dengan kekuatan psikologi

Dari Penulis

Sesungguhnya Allah tidak memberi ujian pada hamba-Nya lebih daripada kemampuan. Di Malaysia, status ibu tunggal adalah lebih baik berbanding negara-negara Asia Tenggara yang lain kerana Islam adalah agama rasmi di negara ini, di mana nasib ibu tunggal bukan sahaja mendapat perhatian badan berwajib tetapi menjadi sebahagian tanggungjawab sebagai Muslim untuk saling membantu antara satu sama lain.

Golongan ibu tunggal mempunyai pilihan mahu bersedih mengenang nasib atau meneruskan hidup dengan semangat kental. Kekuatan spiritual dan kekuatan psikologi (fikiran dan emosi) adalah dua faktor yang mempengaruhi ibu tunggal itu sama ada boleh bangkit atau kecundang.

Bercakap tentang penerimaan masyarakat terhadap golongan ibu tunggal, tidak dinafikan wujud perbezaan pemikiran di kalangan masyarakat. Walau bagaimanapun, faktor persekitaran tidak sepatutnya dijadikan isu kerana sekiranya mereka mempunyai persepsi negatif terhadap label ibu tunggal, ia akan mempengaruhi perlakuan dan reaksi mereka ketika bergaul dengan ibu tunggal.

Rebut Peluang

Sememangnya bukan mudah menjadi ibu tunggal. Kitalah ibu, kitalah ayah. Kepayahan itu jika ditangani dengan fikiran yang positif, insya-Allah akan dapat diharungi satu persatu. Hari ini sudah berapa ramai ibu tunggal berjaya meningkatkan taraf hidup muncul sebagai usahawan berjaya, wanita cekal dan ibu cemerlang yang berjaya mendidik anak-anak menjadi bangsa berguna.

Niat yang tulus, optimis, jelas hala tuju dan strategi yang diperbaharui diperlukan untuk menghadapi tuntutan hidup. Faktor dalaman ini penting dalam memastikan jatuh bangun ibu tunggal selain faktor luaran yang menentukan bagaimana mereka mahu mencorak masa depan.

Ada pelbagai bentuk bantuan kewangan dan sosial disediakan kerajaan dan swasta mahupun badan bukan kerajaan bagi membantu golongan ibu tunggal memperbaiki kualiti hidup. Selain itu, bantuan lain seperti pendedahan dan kesedaran undang-undang turut ditawarkan untuk membela hak mereka.

Ibu tunggal juga disarankan lebih aktif menyertai program-program motivasi, latihan kemahiran dan sebagainya supaya mereka dapat berdikari dan mampu menjana pendapatan lebih baik untuk menyara keluarga. Kerajaan melalui kementerian dan organisasi yang berkaitan juga sudah banyak membuka ruang kepada golongan ini untuk sama-sama menyertai program kendalian mereka.

Justeru, tiada alasan untuk tidak bangun merebut peluang yang sudah terbentang di depan mata. Kesedaran ini amat penting supaya ibu tunggal dapat membebaskan diri dari tekanan dan bebanan baik dari segi ekonomi, pendidikan, sosial mahupun emosi.

Ubah Stigma

Status ibu tunggal seperti yang diperkatakan di awal tadi boleh memberi kesan positif atau negatif kepada seseorang. Seseorang yang terus dicerca, disindir, dikonspirasikan sedikit sebanyak akan terkena tempiasnya dan boleh mengalami tekanan (stres) dan ada juga sehingga peringkat kemurungan (depression) dan kerunsingan (anxiety).

Sekiranya ini berlaku pastinya mempengaruhi perhubungan, pekerjaan, gaya hidup sehingga ada juga yang bertindak memilih untuk bunuh diri daripada terpaksa menanggung malu dihina masyarakat.

Kadang-kadang akibat stigma atau tipikal pemikiran masyarakat mengenai status ibu tunggal, mereka sering dipersendakan, tidak dilayan dengan adil dan seumpamanya. Tidak dinafikan, status ibu tunggal ada kalanya membuatkan seseorang itu keliru.

Ada yang berasa mereka perlu disalahkan kerana menjadi punca hilangnya kasih sayang bapa kepada anak-anak. Ini belum dikira kesan emosi negatif yang lain seperti marah, kecewa dan sedih.

Segala emosi negatif yang terkesan daripada penukaran tanggungjawab dan peranan boleh mengundang pelbagai risiko kepada anak-anak seperti penderaan, pengabaian dan juga boleh menyebabkan mereka terus tarik ‘hand-brake’ dalam kehidupan dan memilih jalan singkat yang terlintas dek akal yang cetek seperti bermasalah dengan ahlong atau bunuh diri.

Panduan Kurangkan Tekanan Ibu Tunggal

1. Berdoa diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan dengan anak-anak. Berdoa juga untuk kebaikan kepada arwah suami, bekas suami dan keluarga mertua agar rahmat dan kasih sayang Allah itu berterusan.

2. Bersedia menangkis reaksi negative dilemparkan masyarakat dengan belajar cara untuk bertenang dan mengawal rasa marah dan sedih.

3. Ambil tahu peluang dan bantuan disediakan pihak kerajaan, swasta dan pihak-pihak tertentu yang terus menyokong golongan ibu tunggal.

4. Sibukkan diri menambah ilmu pengetahuan, kemahiran dan latihan untuk diri sendiri.

5. Belajar kawal emosi diri sendiri untuk mengawal tingkah laku dan perkembangan fizikal, emosi dan psikososial anak-anak.

6. Wang adalah penting tapi wang bukan segalanya. Analisa matlamat dan halusi hala tuju kehidupan yang halal dan faham konsep matlamat tidak menghalalkan cara.

7. Hindarkan diri daripada berseorangan, berbincang dengan golongan professional dan bertauliah, berada dengan orang yang boleh menghargai diri anda.

8. Pertingkatkan diri daripada aspek spiritual bukan sahaja dari segi ibadah dan kehambaan kepada Allah, tetapi juga kepada aktiviti ritual lain seperti bersedekah, berzikir, puasa dan sebagainya.

9. Lihat jalan penyelesaian masalah dari pelbagai aspek dan bukannya tertumpu kepada mencurah perasaan lara dan menokok tambah masalah sahaja.

10. Belajar apa hikmah di sebalik peristiwa lepas dan apa yang boleh dipelajari untuk kehidupan masa depan. Pilih untuk bertindak berbanding dengan hanya mengharap orang lain atau masa yang mengubahnya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Sushi King perkenal pengalaman yakiniku pertama seluruh Malaysia

SUSHI King kini memperluas pengalaman menjamu seleranya menerusi pelancaran pengalaman Yakiniku Sushi King serba baharu di semua cawangan seluruh...

More Articles Like This