Isu hak wanita sebelum berkahwin akan menjelaskan tentang hak-hak wanita sebagai mana yang telah diperuntukkan dalam undang-undang keluarga Islam di Malaysia walaupun mungkin sudah banyak penulisan seperti ini di mana-mana artikel atau saluran literasi undang-undang yang lain.
Dengan menjadikan al-Quran, Sunnah dan ijtihad ulama dari mazhab-mazhab yang muktabar, Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (AUKIWP) secara umumnya telah memuatkan banyak peruntukan berkaitan hak mahupun perlindungan terhadap wanita meliputi hak sebelum perkahwinan, hak semasa perkahwinan dan hak selepas perkahwinan dibubarkan.
HAK SEBELUM PERKAHWINAN
A. Hak Untuk Dinikahkan Oleh Walinya (Sekyen 7)
Selain mempunyai hak untuk mendapat Pendidikan dan perlindungan, wanita sebenarnya mempunyai hak untuk berkahwin dengan mana-mana lelaki mengikut syarat-syarat yang telah ditentukan oleh syarak dengan syarat mendapat persetujuan daripada walinya sama ada wali mujbir (bapa atau datuk sekiranya bapa meninggal) atau wali–wali yang jauh jika ketiadaan wali mujbir mengikut turutan yang ditetapkan syarak. Hak ini juga tertakluk kepada had umur yang telah ditetapkan oleh akta ini iaitu 16 tahun melainkan dengan keizinan Mahkamah Syariah (selepas ini disebut sebagai mahkamah) bagi umur yang kurang dari 16 tahun (seksyen 8).
B. Hak Untuk Dinikahkan Oleh Wali Hakim (Seksyen 13)
Akta ini juga memperuntukkan hak wanita untuk berkahwin melalui wali hakim atau Hakim Mahkamah Syariah sekiranya terdapat halangan daripada wali nasabnnya sama ada dengan keengganan tanpa alasan yang sah atau ketiadaan wali nasab.
C. Hak Untuk Berkahwin Lagi Bagi Janda/Balu (Seksyen 14)
Tiada halangan bagi mana-mana wanita sebenarnya untuk bernikah semula setelah menjadi janda sama ada melalui perceraian atau kematian dengan membawa bukti yang cukup kepada mahkamah selepas tamat tempoh iddahnya. Hak ini juga boleh wujud sekiranya mahkamah telah mengeluarkan akuan anggapan mati suami bagi mana-mana isteri yang hendak membubarkan perkahwinan setelah berjaya membuktikan kehilangan dan kematian suami dalam tempoh empat tahun atau lebih seperti yang diperuntukkan dalam seksyen 53 akta ini. Berbeza dengan wanita yang masih gadis, seorang wanita yang telah menjadi janda tidak boleh dipaksa oleh wali mujbirnya untuk berkahwin.
d. Hak Gantirugi Pemungkiran Janji Perkahwinan (Seksyen 15)
Sama seperti kes sivil dalam tuntutan pecah kontrak di mahkamah-mahkamah sivil, akta ini juga memperuntukkan hak seseorang Islam untuk mendapatkan gantirugi atau pampasan di mahkamah syariah ke atas sebarang bentuk pemungkiran janji perkahwinan tanpa alasan sah atau munasabah selepas terbukti wujudnya tali pertunangan telah diikat sebelumnya.

