Dalam artikel sebelum ini dinyatakan bahawa jumhur ulama dan Imam Syafie telah menghukumkan wajib bagi anak-anak memberi nafkah pada kedua orang tuanya yang tidak berkemampuan, namun turut disenaraikan beberapa syarat utama.
Dalam hal ini, menurut Pensyarah Undang-undang Keluarga Islam, Kuliah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Azizah Mohd meskipun ulama meletakkan hukum wajib kepada anak untuk membiayai nafkah ibu bapanya, namun hukum tersebut disertakan dengan tiga syarat utama, yakni jika anak-anak memenuhi syarat tersebut, maka wajiblah mereka membayar nafkah kepada kedua orang tuanya.
Paling penting ialah si anak tersebut dalam kalangan orang senang dan melebihi keperluan bagi perbelanjaan terhadap diri sendiri dan isterinya sehari semalam. Hal ini kerana orang fakir tidak diwajibkan memberi nafkah kepada orang lain yang fakir sepertinya.
Selain itu, nafkah tersebut juga wajib dibayar sekiranya ibu bapa tergolong dalam golongan orang yang tidak berkemampuan ataupun orang yang fakir. Bagi ibu bapa yang tidak bekerja dan tidak mampu menyara kehidupan serta membeli barang keperluan untuk dirinya sendiri, mereka adalah dari golongan yang tidak berkemampuan itu tadi.
Namun begitu, ia tidak bermakna jika ibu bapa sudah berkemampuan, anak-anak tidak perlu memberi nafkah padanya, boleh juga memberi, cuma jika tidak memberi, tidak akan mendapat dosa kerana hukumnya bukan wajib.
Tetapi seeloknya, jika ibu bapa itu berkemampuan sekalipun, seharusnya anak-anak mengambil inisiatif memberi sedikit sumbangan kepada mereka sebagai tanda penghargaan dan hadiah. Apalah sangat wang ringgit yang dimiliki itu jika dibandingkan dengan jasa dan pengorbanan ibu bapa.
Antara lain syarat wajib ialah perbelanjaan ibu tidak mencukupi disebabkan ayah tidak mampu memberikan nafkah kepada isteri (ibu) ataupun si ayah telah meninggal dunia. Justeru, tugas memberi nafkah itu akan jatuh kepada anaknya. Namun, jika si ibu telah berkahwin lain, maka nafkah itu akan diambil alih oleh suami barunya.
Tambah Dr Azizah lagi, hasil dari kesepakatan ulama dalam hal ini, maka kita seharusnya sedar bahawa tanggungjawab kita terhadap ibu bapa bukan hanya sekadar bertanya khabar, melawat, dan sebagainya, tetapi dari sudut material juga diwajibkan, termasuk memberi keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, ubat-ubatan dan perbelanjaan rawatan perubatan. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Ankabut: 8
“Dan kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibu bapanya”.
Tuntasnya, jika sebelum ini, ramai yang mengatakan urusan atau tanggungjawab pemberian nafkah terhadap ibu bapa itu hanya keutamaan pada anak lelaki, tetapi jumhur ulama semua bersepakat bahawa lebih utama kepada anak-anak yang berkemampuan, tidak kira anak lelaki atau perempuan, dan tidak kira juga anak sulung mahupun bongsu. Yang penting, berkelapangan, sama ada mempunyai harta ataupun pekerjaan.
Bahkan, Rasulullah saw pernah bersabda seperti yang diriwayatkan daripada Jabir r.a.
“Mulakan dengan diri sendiri dan belanjakanlah atas diri sendiri, jika ada lebihan maka belanjakanlah atas ahli keluarga, jika ada lebihan sesuatu daripada ahli keluarga, maka belanjalah kepada kaum kerabat, sekiranya ada lebihan sesuatu daripada kaum kerabat, maka begini dan begini.”
Sekiranya ibu bapa hanya mempunyai seorang anak, maka kewajipan nafkah itu akan dipikul seorang sahaja. Sebaliknya, jika anak lebih daripada seorang, maka ulama berbeza pandangan mengenainya. Menurut pandangan pertama, iaitu dari mazhab Imam Syafie, kewajipan membayar nafkah pada kedua orang tuanya adalah sama walaupun ada perbezaan yang ketara dalam kalangan anak-anak dari segi kelapangan.
Namun, terdapat juga pandangan kedua iaitu kewajipan nafkah terhadap anak-anak berdasarkan kepada kelapangan masing-masing sebagaimana yang telah disebut sebelum ini. Anak yang mempunyai banyak harta atau bagus pekerjaannya maka kewajipannya adalah lebih tinggi daripada yang tidak mempunyai banyak harta.
Dan pandangan yang ketiga ialah pendapat ulama bahawa kewajipan mengikut kadar kelayakan harta pusaka, iaitu anak lelaki dua bahagian dan anak perempuan satu bahagian.
Dr. Azizah turut berpendapat pandangan ketiga nampak lebih munasabah dan adil kerana yang banyak menerima harta pusaka mestilah juga merupakan yang banyak menyumbang nafkah kepada ibu bapa. Namun begitu, bukan bermakna bagi anak yang kurang menerima harta pusaka, mengabaikan tanggungjawab terhadap kedua orang tuanya, tetapi jika ingin juga memberi, apa salahnya. Malah lebih baik begitu, yakni memberi kepada ibu bapa nafkah jika berkemampuan. Wallahu a’lam
_______________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

