Sebahagian daripada perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENULIS tidak pasti apa yang ada dalam fikiran pemimpin dan sebahagian perwakilan UMNO ketika melangkah ke Dewan Merdeka bagi menghadiri Perhimpunan Agung parti itu pada Rabu hingga semalam.

Adakah mereka melangkah dengan keinsafan selepas buat kali kedua berturut-turut kalah dalam PRU?

Atau mereka melangkah tanpa rasa malu sebaliknya bangga kerana walaupun mencatatkan keputusan paling buruk dalam sejarah parti itu pada PRU-15 tetapi ‘atas kebijaksanaan’ dan ‘taktikal’ Presiden yang mereka sanjungi, UMNO menjadi ‘kingmaker’ untuk pembentukan kerajaan.

Berdasarkan kepada apa yang berlaku sepanjang perhimpunan berlangsung, penulis melihat keinsafan masih jauh untuk ‘melekat’ di hati sebahagian besar pemimpin UMNO.

Bagi mereka kekalahan dalam PRU-15 tidak perlu ditangisi, menang kerusi paling sedikit dalam sejarahpun tak mengapa, sokongan orang Melayu semakin merosotpun tidak ada masalah.

Kenapa? Sebab kalahpun masih jadi kerajaan, ditolak rakyatpun pemimpinnya masih dapat pegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, tiada ahli Parlimen di enam negeripun pemimpinnya boleh jadi menteri.

‘Apa nak malu bossku?’ Yang penting dapat kuasa dan berada dalam tampuk pemerintahan biarpun terpaksa ‘menjilat ludah sendiri’ dan tunduk kepada kelompok yang sebelum ini dianggap musuh ‘yang tidak boleh dikompromi’.

Namun dalam ‘kegembiraan’ menjadi kerajaan, dalam kebanggaan menjadi menteri dan keseronokan mendapat sokongan apabila jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi…jangan lupa! Apa yang berlaku meletakkan UMNO berada dalam kedudukan‘sehasta” sahaja lagi untuk ‘dikafankan’. Apa yang berlaku di perhimpunan agung parti itu menjadi bukti, UMNO dulu,kini dan selamanya tidak akan insaf.

Sepatutnya perhimpunan itu menjadi platform terbaik untuk melakukan perubahan kepemimpinan, ia sepatutnya menjadi gelanggang untuk membentuk wajah baru UMNO. Tetapi ‘keangkuhan’ kerana ada kuasa dan kejahilan kelompok yang terus ‘’membodek’ kepemimpinan telah memungkinkan UMNO akan terus ditolak rakyat khususnya orang Melayu.

Tindakan meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi akan mencampakkan UMNO dalam lembah kebinasaan politik. Mereka berdegar-degar bercakap soal demokrasi tetapi penakut untuk berhadapan undi ahli-ahli akar umbi.

Mereka bercakap soal taat dan sayang kepada parti tetapi individu yang bersuara demi mahu selamatkan parti dianggap pengkhianat. Kelompok yang cuba menegur dituduh ‘duri dalam daging’, ‘gunting dalam lipatan’ sedangkan yang betul-betul melakukan perbuatan itu langsung tidak dipersoal.

Mereka melaungkan mahu bangkit semula tetapi keputusan politik yang dibuat sekadar meletakkan parti itu ‘melukut di tepi gantang’ dan maruahnya akan diinjak-injak oleh musuh yang sudah ‘disucikan’. Apa yang berlaku sepanjang perhimpunan kali ini akan menghukum parti itu lima tahun akan datang atau tepat lagi dalam PRU-16.

Tetapi pemimpin dan perwakilan yang terlibat peduli apa? Lima tahun lagi mungkin ada antara mereka sudah tidak aktif lagi atau sudah dijemput illahi. Namun sokongan yang diberikan kononnya untuk mengelakkan perpecahan akan menjadi petaka kepada UMNO.

Yakinlah, dengan apa yang terjadi harapan ahli akar umbi untuk melihat parti itu kembali dominan dalam tampuk kekuasaan negara hanya sekadar satu mimpi. Malah mereka juga akan menyaksikan bagaimana UMNO akan jadi ‘pak turut’ kepada sekutu yang lebih dominan.

Semua itu tercetus kerana pemimpinnya tidak mahu mengaku kelemahan sendiri. Sebaliknya menuduh lawan politik yang menewaskan mereka menyogok pengundi muda. Mereka mendakwa parti itu kalah kerana fitnah dan tohmahan hingga parti itu dipandang serong oleh rakyat.

Itulah ‘hebatnya’ UMNO yang kekal BERSATU pertahankan keangkuhan, berikrar BERSETIA dengan bekas musuh yang tidak ‘mensucikan’ mereka dan rela BERKHIDMAT dalam keadaan ‘melukut di tepi gantang’. Hasilnya, Perhimpunan Agung UMNO 2023 ibarat ‘membeli kain kafan’, ‘memesan keranda’, ‘menempah batu nisan’ untuk parti yang ‘keramatnya’ semakin pupus ‘disemadikan’.