Sebahagian daripada perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. GAMBAR: Abd Razak Aid

SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, menggariskan lima alasan yang menurutnya menjadi punca kekalahan parti pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 November 2022.

Dalam pembentangan pada Persidangan Agung UMNO (PAU) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur yang berakhir Sabtu lalu, beliau menekankan lima perkara yang dianggap ‘luar biasa’. Dakwanya, empat daripadanya dirancang oleh parti lawan.

Antara alasan dikemukakan ialah salah guna data peribadi pengundi dan merasuah pengundi merangkumi belia, siswa serta Orang Kelainan Upaya (OKU). Juga mendakwa para pemimpin UMNO jadi mangsa tohmahan melalui media sosial.

Ahmad Maslan juga mendakwa, pemimpin UMNO dizalimi, termasuk presiden, ahli-ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta ‘bosku’ Datuk Seri Najib Tun Razak yang dipenjara 12 tahun dan denda RM210 juta setelah didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International (SRC).

Kesimpulan Ahmad Maslan ialah nasib malang yang menimpa UMNO adalah kerana permainan kotor parti lawan. Beliau hanya menyentuh sedikit sahaja punca kekalahan yang dianggap silap sendiri, iaitu sabotaj dalaman parti.

Adakah menyalahkan pihak lain sekadar alasan menyedapkan hati sendiri? Atau adakah cuba untuk meyakinkan ahli-ahli bahawa UMNO sesungguhnya tewas kerana perbuatan jahat parti lawan, bukan kerana kelemahan sendiri? Bolehkah ahli-ahli UMNO menerima alasan ini bulat-bulat?

Menuding jari kepada orang lain adalah perbuatan mudah. Kerap berlaku setiap kali UMNO dan pemimpinnya berdepan masalah, termasuk dalam kes mahkamah, slogan yang selalu dilaungkan ia adalah fitnah atau pendakwaan terpilih. Semua bertujuan menjatuhkan UMNO.

Tewas dalam PRU ke-14 kononnya kerana fitnah. Parti lawan menang kerana fitnah. Begitu juga kalah dalam PRU-15, sekali lagi dicanang kerana fitnah. Tiada alasan lainkah? Rakyat pun jemu mendengar.

Andaian fitnah sebenarnya menghina kebijaksanaan pengundi. Masakan pengundi yang sudah cukup matang mudah termakan fitnah. Mereka mampu berfikir dengan rasional sebelum membuat pilihan. Realitinya, mereka mahu perubahan.

Mereka penat dengan sikap para pemimpin UMNO yang tidak berubah. Gelagat tetap sama, tidak mengambil iktibar sekali pun tercampak daripada tampuk kuasa pada PRU-14 setelah lebih enam dekad berkuasa sebagai parti dominan dalam Barisan Nasional (BN).

Ini belum mengambil kira pemimpin parti itu yang terlibat dengan kes mahkamah atau dipenjara. Tetapi ia juga tidak mengubah apa-apa. Pemimpin yang bersalah tetap disanjung, dianggap dianiaya dan dihukum kerana fitnah walau pun mahkamah membuat keputusan berdasarkan bukti.

Amat kecewa melihat keadaan ini kerana UMNO lebih beremosi menurut persepsi, sukar menerima kenyataan jika menimpa batang hidung sendiri. Jika terkena kepada orang lain diam sahaja dan dianggap adil sedangkan sistem keadilan dan mahkamah yang sama membuat keputusan.

Baca artikel berkaitan: Apa nasib UMNO selepas ini? Kembali mengaum atau makin layu

UMNO sukar mengakui kelemahan sendiri tetapi menggunakan strategi menyalahkan orang lain. Kerana itu enggan bermuhasabah untuk memperbaiki diri dan mengambil iktibar daripada apa yang menimpa. Misalnya mengkaji kenapa sokongan menurun dengan drastik pada PRU-14, dan lebih teruk pada PRU-15.

Pada PRU 2004, UMNO memiliki 109 kerusi. Namun pada PRU berikutnya pada 2008 jatuh kepada 79 kerusi sahaja. Jumlah ini naik kepada 88 pada PRU tahun 2013, tetapi jatuh semula kepada 54 kerusi pada PRU-14. Kini ia ada hanya 26 kerusi pasca PRU-15.

Meneliti data ini, sudah dapat dilihat trend sokongan kepada UMNO kian menurun. Tetapi apa usaha yang dibuat untuk memperbaiki diri? Memetik wartawan veteran A Kadir Jasin dalam tulisannya, pada PRU-15 calon UMNO hanya memperoleh 13.55 peratus undi. Ertinya daripada setiap 100 orang Melayu mengundi, hanya 13 orang pangkah UMNO.

Menurut Kadir, UMNO tewas pada PRU-14 bukan kerana orang Melayu suka-suka menolak UMNO atau ghairah menyokong Pakatan Harapan (PH). Tetapi orang Melayu, termasuk di kubu kuat UMNO di luar bandar atau Felda, menolak parti itu kerana perlakuan para pemimpinnya.

Penolakan ini berterusan pada PRU-15 yang menyaksikan prestasi UMNO merudum teruk. Mujurlah ia masih dapat menumpang tuah Kerajaan Perpaduan dengan menyertai kabinet dan ditawar jawatan tinggi. Tapi sampai bila hendak menempel?

Memang UMNO ada jasanya selama lebih enam dekad memegang tampuk kuasa. Bagaimana pun parti itu mesti berkembang seiring perubahan masa dan tidak boleh terus bergayut dengan slogan ia parti lama yang banyak berjasa.

Masa beredar dan pengundi juga berubah. Dahulu ramai pengundi adalah mereka yang setia dengan UMNO dan sentiasa bersama parti itu bagi memastikan ia terus memegang tampuk pemerintahan negara.

Namun semakin lama kelompok pengundi ini berkurangan, diambil alih kelompok remaja dan belia. Pengundi 18 tahun memasuki gelanggang mulai PRU-15. Golongan ini ada pilihan dan kecenderungan sendiri. Tidak ada, atau jika ada terlalu tipis, nostalgia mereka terhadap UMNO berbanding ibu bapa atau datuk nenek mereka.

Kerana itu tidak hairan sokongan kepada UMNO kian terhakis. Dengan apa yang dipamerkan oleh pemimpin parti, bukan sahaja pengikut setia UMNO sendiri lari, tetapi dibimbangi golongan muda tidak pandang sebelah mata. Kebimbangan ini turut disuarakan oleh mantan perdana menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jika sokongan kepada UMNO kian menipis serta tidak menjadi pilihan pada setiap kali pilihan raya, apa akhirnya akan jadi kepada parti itu? Tambahan lagi jika tiada usaha dibuat tuntuk membersih dan memperkasa parti, termasuk memberi peluang pemimpin lebih muda, dinamik, bertenaga serta lebih bersih memimpin parti?

Namun PAU tahun ini memutuskan tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, menutup ruang demokrasi untuk pemimpin pelapis menonjolkan diri. Kerana ini keputusan PAU, nampak majoriti ahli selesa dengan keadaan sekarang serta tidak mahu berubah.

Mereka langsung tidak bimbang dengan nasib masa depan UMNO dan terus berada dalam kepompong sindrom penafian. Yang menegur dan memberi pandangan membina dianggap menentang pucuk pimpinan atau khianat kepada parti serta diambil tindakan.

Dalam senario begini, bagaimanakah UMNO mampu bertahan untuk memastikan parti itu terus relevan? Pilihan terletak di tangan sendiri sama ada mahu bangkit atau terus malap. Atau adakah UMNO masih terus mahu mengambil jalan mudah menyalahkan orang lain jika terjebak dalam masalah?

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram