Melalui artikel sebelum ini telah dijelaskan hukum memberi nafkah kepada kedua ibu bapa serta syarat-syarat bagi anak yang ingin menafkahi ibu bapanya bersandarkan pandangan ulama. Adapun jika berlaku perbezaan agama antara anak dengan kedua ibu bapanya, namun ia bukanlah penghalang bagi ibu bapa untuk mendapatkan nafkah dari anak-anak.
Ini kerana, menurut majoriti ulama yang terdiri daripada Imam Hanafi, Maliki, Syafie, dan satu pandangan dalam mazhab Hambali berpendapat bahawa anak-anak yang beragama Islam masih tetap wajib memberikan nafkah kepada ibu bapa mereka, walaupun kedua-duanya bukan beragama Islam.
Baca artikel berkaitan: Jika cukup syarat-syarat ini maka anak wajib memberi nafkah kepada ibu-bapanya” Imam Syafie
Hal ini berdasarkan kepada nas al-Quran surah Luqman: 15,
“Dan jika kedua-duanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya dan bergaullah dengan mereka di dunia ini dengan baik.”
Berdasarkan kepada ayat di atas, menurut Pensyarah Undang-undang Keluarga Islam, Kuliah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Azizah Mohd berkata, dalam apa jua keadaan sekalipun, Islam selaku agama yang membawa keharmonian dan mementingkan ukhwah Islamiyah turut tidak akan menjadi pemisah kepada anak untuk berbakti kepada ibu bapanya.
Meskipun berbeza akidah, tetapi aliran darahnya tetap mengalir laju di tubuh setiap anak, dan atas dasar itu, mereka dituntut untuk terus berbuat baik kepada kedua orang tuanya.
Tidak salah pun berbuat baik kepada kedua ibu bapa, malah Nabi s.a.w. juga pernah bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, yang diriwayatkan oleh Abu Amru asy-Syaibani dia berkata.
“Saya bertanya kepada Rasulullah s.a.w, “Amalan apakah yang paling dicintai Allah? beliau menjawab: “Shalat pada waktunya.” Aku bertanya,” kemudian apa?” Beliau menjawab: “Berbakti kepada kedua orang tua.” Saya bertanya,” Kemudian apa lagi?” Beliau menjawab: “Jihad di jalan Allah.”
Undang-undang Malaysia
Di negara kita, undang-undang yang terpakai terhadap orang Islam ialah undang-undang Islam yang diperuntukkan dalam Akta atau Enakmen Negeri-negeri. Secara umumnya, undang-undang yang berkaitan dengan nafkah ibu bapa tidak diperuntukkan secara khusus. Namun, terdapat peruntukan nafkah kaum kerabat secara umum dalam enakmen negeri. Sebagai contoh, seksyen 61 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan:
“Mahkamah boleh memerintahkan mana-mana orang yang bertanggungan tentang hal itu mengikut hukum syarak supaya membayar nafkah kepada seseorang lain jika dia tidak upaya sepenuhnya ataupun sebahagiannya, dari mencari kehidupan oleh sebab kerosakan otak atau jasmani atau tidak sihat dan Mahkamah berpuas hati bahawa memandang kepada orang yang pertama tersebut itu, adalah munasabah memerintahkan sedemikian.”
Kalau diikutkan, Dr. Azizah memberitahu peruntukan yang sedia ada sebenarnya tidaklah terlalu khusus kepada nafkah ibu bapa, tetapi termasuk juga nafkah kepada ahli keluarga yang lain. Ianya berbeza daripada peruntukan undang-undang yang ada di negara Islam yang lain, khususnya di Timur Tengah.
Peruntukan nafkah ibu bapa adalah lebih terperinci dan jelas. Contohnya, di Kuwait terdapat beberapa peruntukan undang-undang khusus berkaitan nafkah ibu bapa seperti, Seksyen 201 Undang-undang Keluarga Kuwait 1984 memperuntukkan:
“Wajib atas anak yang berkelapangan, lelaki atau perempuan, membiayai nafkah kedua-dua ibu bapanya, datuknya dan neneknya, walaupun berbeza agama atau kemampuan bekerja. Sekiranya bilangan anak ramai, maka kewajipan nafkah atas mereka mengikut kelapangan mereka.”
Selain Kuwait, terdapat juga negara lain yang memperuntukkan perkara sedemikian, seperti Jordan, Qatar, dan beberapa negara di Asia Tenggara, contohnya di Filipina, Taiwan, Singapura dan India.
Justeru, Dr. Azizah juga menyarankan kepada pihak berwajib, bahawasanya telah tiba masa yang sangat sesuai untuk kita, negara Malaysia memperuntukkan undang-undang yang lebih khusus terhadap nafkah ibu bapa. Ini bagi mengelakkan berlakunya kes-kes pengabaian terhadap ibu bapa seperti yang sedang berleluasa kini serta sebagai bukti kita adalah negara Islam secara praktikal juga.
Turutan keutamaan pemberian nafkah
- Isteri: segala perbelanjaan isteri perlu ditanggung oleh suami
- Anak kecil: kerana tiada kemampuan untuk bekerja
- Ibu
- Ayah
- Anak yang sudah besar tetapi fakir
- datuk
_______________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’