Dua lagi peguam Siti Bainun tarik diri

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

DUA lagi peguam yang mewakili pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali menarik diri malam tadi.

Perkara itu disahkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Izralizam Sanusi dalam prosiding pagi ini, apabila memaklumkan kepada Siti Bainun, 31, bahawa pihak mahkamah telah menerima notis penarikan diri daripada dua peguam itu sekitar pukul 9 malam tadi.

“Saya terima notis penarikan diri itu malam tadi pukul 9 malam. Saya bagi tarikh, kamu kena lantik peguam baharu secepat mungkin,” katanya.

Sejurus mendengar makluman mengenai tindakan peguamnya yang menarik diri di saat akhir itu, Siti Bainun yang berdiri di kandang tertuduh dilihat sebak sambil mengesat air mata.

Justeru, dengan penarikan diri dua lagi peguam itu, kesemua peguam daripada lima firma tidak lagi mewakili Siti Bainun bagi prosiding bela diri yang seterusnya.

Susulan itu, Hakim Izralizam menasihati Siti Bainun untuk melantik peguam baharu yang lebih bertanggungjawab bagi mewakili dirinya.

“Sekadar seorang pun jika boleh kendali tiada masalah..kalau banyak firma pun berlaku macam ini , tidak beri manfaat kepada kamu juga. Bila seorang tarik diri, pasukan juga tarik diri.

“Kalau dapat seorang pun sekiranya dia memadai dan bertanggugjawab dan boleh mengendalikan kes dengan baik… awak lantik,” kata hakim itu lagi.

Izralizam turut menasihati Siti Bainun untuk memfailkan aduan kepada Majlis Peguam Malaysia sekiranya rasa teraniaya dengan tindakan peguamnya yang bertindak menarik diri daripada mewakilinya sepertimana yang tertakluk dalam Peraturan 6, Peraturan Majlis Peguam dan Kaedah Profesion Undang-Undang (Praktis dan Etika) 1978.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 dan 27 Januari ini untuk pengurusan kes selain mengarahkan Siti Bainun untuk mengemukakan status lantikan peguam baharu pada tarikh berkenaan.

Dalam masa sama, mahkamah juga memutuskan prosiding yang dijadualkan berlangsung hingga Jumaat ini dilapangkan.

Sebelum prosiding itu berakhir, Timbalan Pendakwa Raya, Zilfinaz Abbas bangun berhujah bahawa ini merupakan kali kedua Nurul Hafidzah menarik diri daripada mewakili Siti Bainun.

“Kami ingin merekodkan ini kali kedua Nurul Hafidzah Hassan menarik diri dari menjadi peguam bela tertuduh dan kami ingin direkodkan bahawa penarikan diri saat akhir ini adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

“Ini juga tidak hormat mahkamah dan tidak memberi keadilan kepada semua pihak,” katanya.

Semalam, tiga peguam, Mohammad Farhan Maaruf dan Nur Ellena Mohamed Razif dan Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor dilaporkan telah menarik diri daripada mewakili Siti Bainun.

Mohammad Farhan dan Nur Ellena memfailkan permohonan menarik diri secara bertulis kepada mahkamah Jumaat lalu, manakala Nur’Aminatul membuat permohonan secara terbuka di mahkamah, semalam.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengarahkan Siti Bainun membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Aka Kanak-Kanak 2001.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Kenyataan MB Johor mengenai DAP: ‘Tak perlu mana-mana pihak terlalu melatah’

MANA-MANA pihak diingatkan tidak perlu terlalu melatah atau keterlaluan dalam mengkritik kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi...

More Articles Like This