Kemerosotan jumlah pelajar lepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi pada tahun lalu menjadi antara faktor utama YEG Academy melaksanakan inisiatif YEG Pesta Sambung Belajar dengan menjanjikan kemudahan ekosistem yang lengkap selain menyediakan peluang bekerja selepas tamat pengajian.

Jelas pengasas utama YEG Academy, En Hasan Ithnin dan AzizulHakim Suhaimi, hasil kajian yang dijalankan mendapati kebanyakan para lepasan SPM memilih untuk menceburi bidang pekerjaan gig ekonomi dan menjadi pempengaruh media sosial.

Sebahagian yang lain pula berpendapat bahawa kewangan peribadi untuk membiayai pengajian mereka adalah sangat tidak memeberangsangkan dan beranggapan sambung belajar tidak dapat menjamin mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

Dan atas sebab itu, kempen kali ini akan melibatkan pakar industri dalam setiap bidang yang ditawarkan di mana ia mampu memberikan gambaran masa depan yang lebih dipercayai oleh pelajar. Malah silibus-silibus yang dipertengahkan oleh setiap bidang ini adalah terkini dan selari dengan Dasar Ekonomi Digital.

“Sasaran YEG Pesta Sambung Belajar untuk 2023 adalah untuk meningkatkan peratusan pelajar untuk menyambung pengajian kerana 72 peratus pelajar lepasan SPM tidak berminat untuk sambung belajar pada tahun lepas. Jadi manifesto kami dengan dermasiswa dan kemudahan lengkap ekosistem selain menyediakan pelajar untuk terus bekerja, itulah sasaran yang ingin dicapai pada tahun ini.

“Jumlah sasaran kami dengan tanda pagar #jangansalahpilihbidang adalah 5000 orang pelajar. Dan kami sasarkan 1000 orang pelajar untuk work based learning dalam bidang perhotelan dengan latihan praktikal di Dubai dan Qatar,” ulas pengarah YEG, AzizulHakim Suhaimi ketika sidang media pelancaran YES Pesta Sambung Belajar di Putrajaya baru-baru ini.

Tambahnya lagi, keunikan pertama tentang bidang-bidang yang ditawarkan di sini adalah kesemua bidang ini mempunyai ekosistem pembelajaran terbaik dan lengkap. Hal ini kerana, bidang-bidang ini telah dipilih untuk diperkenalkan kepada golongan muda selepas ia dipastikan mempunyai pasaran kerjaya yang tinggi.

Antara kursus yang ditawarkan ialah Diploma Pengurusan Haji dan Umrah (DHUMY), Diploma dalam Industri Penerbangan, Diploma Penguatkuasa Undang-Undang Malaysia dan Diploma Perhotelan (Belajar di Malaysia, Latihan Industri di Dubai dan Qatar).