APAKAH benar, wujud satu garisan waktu dalam sistem peredaran masa yang menyebabkan manusia boleh tersesat atau hilang? Mereka yang tersesat ini pula kemudiannya mengalami satu pengalaman aneh. Di negara barat, fenomena ganjil ini dikenali juga sebagai missing time.
Cuba baca beberapa kejadian ini…
KEJADIAN 1
Suatu malam bulan November 2004, seseorang yang memperkenalkan diri sebagai Cher, menulis di Internet bahawa dia pernah mengalami kejadian sesat dalam ruang waktu ketika sedang memandu seorang diri ke bandar yang terletak kira-kira satu batu dari rumahnya.
Ketika meninggalkan rumah, kabus tebal muncul di sepanjang jalan. Sejurus kemudian, dia ternampak cahaya yang sangat terang menembusi kepulan kabus itu. Cher terus memandu mendekati cahaya itu. Dia kemudian ternampak stesen minyak Philips 66. Sungguh pelik kerana dia tidak pernah melihat stesen minyak tersebut sebelum ini.
“Seorang lelaki keluar dari kedai di stesen dan saya bertanya kepadanya, bagaimana stesen minyak itu boleh dibina dengan begitu cepat? Lelaki itu menatap wajah saya kehairanan. Dia menjawab, stesen minyak itu sudah berada di situ sejak lapan tahun lalu. Terus saya bertanya di mana lokasi saya berada. Jawapan yang diberikannya membuat saya terkejut. Rupanya, saya berada sejauh 483 kilometer dari rumah!,” cerita Cher.
Bila Cher memandang jam di tangannya, dia terasa bingung kerana jarum jam baru bergerak hanya beberapa minit. Dia hairan, bagaimana dia boleh pergi sejauh itu dalam masa yang sangat singkat?
KEJADIAN 2
Seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai Kim menceritakan pengalamannya dan suami tersesat dalam ruang waktu. Kejadian itu berlaku pada bulan Ogos 1999. Ketika itu, dia dan suaminya dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kingman, Nevada. Mereka dari Las Vegas, menaiki dua kenderaan secara berasingan. Suaminya menunggang motosikal Harley, manakala Kim memandu kereta sambil mengekori daripada belakang.
Tidak lama kemudian, motosikal suaminya tiba-tiba bergerak laju dan berada jauh di hadapan. Apabila dia ingin mengejar suaminya, entah dari mana tiba-tiba saja muncul banyak kereta di hadapan dan di belakangnya.
Tiba di rumah, dia melihat jam. Kim terkejut kerana mendapati perjalanan itu telah mengambil masa empat jam, berbanding kebiasaannya hanya satu setengah jam. Apa yang menjadi tanda tanya, daripada mana datang semua kereta misteri itu, padahal jalan raya tersebut dikelilingi gunung-ganang dan tebing curam?
KEJADIAN 3
Seorang suri rumah bernama Tillie menceritakan, pada musim luruh tahun 2002, suami dan anak tunggalnya pergi memburu rusa di hutan berdekatan Nenana, Alaska. Dua beranak itu memasang khemah tidak jauh daripada pintu masuk hutan kerana ingin bermalam di situ.
Tapi, itulah perkara terakhir yang mereka ingat. Apabila tersedar, kedua beranak itu bingung kerana berada dalam hutan tebal dan gelap. Keesokan hari, barulah keduanya tahu bahawa mereka berada sejauh 3.2 kilometer daripada tapak perkhemahan asal mereka. Sampai ke sudah mereka tidak tahu bagaimana mereka boleh sampai ke situ.
KEJADIAN 4
Douglas dan ayahnya keluar mencari rumah untuk disewa pada pukul 6.00 petang tahun 1981. Mereka berhenti di Route 76, Austintown, Ohio kerana terlihat sebuah rumah kosong dua tingkat. Ketika menghampiri kediaman itu, mereka terdengar suara budak kecil lelaki dan perempuan ketawa dari halaman belakang rumah. Apabila mereka mendekati suara itu, mereka hanya nampak buaian bergerak sendiri tanpa ada seorang pun di situ.
Douglas kemudian masuk ke ruang tamu rumah. Keadaannya seperti tidak pernah dilihat selama ini. Takut melihat keadaan itu, dia pergi mendapatkan ayahnya sebelum mereka berdua turun ke ruang bawah tanah rumah itu.
Ruangnya sempit. Ketika itu, lampu terpadam dan pintu menuju ke ruang bawah tanah tertutup sendiri. Suasana begitu gelap sekali hinggakan Douglas tidak nampak tangannya sendiri. Douglas yang ketakutan memegang erat baju ayahnya. Mereka berpimpin tangan menaiki tangga untuk keluar dari situ.
Sampai di ruang atas, semua lampu menyala, tetapi keadaan di luar sangat gelap gelita. “Kami berlari masuk ke dalam kereta dan terus pulang ke rumah. Tiba di rumah, nenek bertanya ke mana kami pergi sepanjang hari. Saya pelik dengan soalan nenek. Bila melihat jam, ketika itu sudah pukul 2.30 pagi. Rupa-rupanya kami berdua telah hilang hampir sembilan jam, sedangkan kami baru keluar untuk tempoh tidak sampai pun sejam,” cerita Douglas.

Banyak teori dikaitkan dengan insiden di atas. Ada juga yang mempertikaikannya dan beranggapan kes-kes misteri seperti ini didorong penyakit lupa ingatan, alzheimer, trauma dan halusinasi.
Ada juga berandaian, individu yang melalui hipnosis biasanya berada dalam keadaan tidak sedar akan bercerita seperti ini. Namun, bagaimana pula dengan kejadian yang melibatkan lebih daripada satu orang? Apakah mereka juga mengalami gangguan penyakit lupa atau mental secara serentak pada waktu yang sama dan melalui peristiwa yang serupa?
Mustahil. Jika dikatakan mereka ini di bawah pengaruh hipnosis, mengapa pula mereka merasai satu jalan cerita yang secara keseluruhannya adalah sama. Walhal, manusia memiliki daya imaginasi dan memori yang berbeza. Pertikaian ini terus menjadi perdebatan di kalangan pengkaji.
Menurut kajian fizik, manusia hidup dalam satu keadaan yang dinamakan sebagai universe. Sesuatu universe mengandungi tiga unsur iaitu masa, kelajuan dan ruang. Setiap satu elemen ini mempunyai hukum pergerakan yang tersendiri dan ia membentuk satu jangka putaran yang boleh diukur seperti hari, minggu, tahun dan seterusnya.
Sesuatu yang ajaib mengenai universe ini ialah ruang akan tetap muat untuk menampung kehidupan. Sebagai contoh, berapa banyak pun populasi manusia bertumpu di sesuatu tempat, akan tetap ada ruang untuk manusia yang baru dilahirkan menjalani kehidupannya di masa depan.
Di bumi, terdapat beberapa universe dan setiap satunya mempunyai ruang sempadan yang dibezakan melalui masa, kelajuan dan ruang. Inilah yang mereka gelar sebagai time travel. Bagaimanapun, terdapat beberapa kes yang menyebabkan kita tersesat ke dimensi lain. Kisah di atas adalah sebahagian bukti kewujudan dimensi universe.
Apa pula teori anda?

____
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

