Penjelajah solo negara, Khairil Aslan Ab Rasid akan memulakan ekspedisi siri kayuhan solo Fatbike menjelajah Semenanjung Malaysia selama 40 hari. Misi yang bermula pada 24 Januari 2023 ini sebagai usaha menyantuni anak-anak istimewa dalam membantu kutipan dana bagi Akademi Permata Impian (APIM).

Menurut Aslan, 48, ekspedisi sejauh kira-kira 2200 kilometer akan bermula di APIM dan berakhir di Masjid Bandar Rinching, Selangor selepas melalui 30 perhentian seluruh Semenanjung dengan Fatbike seberat hampir 60 kilogram. Apa yang menarik, setiap perhentian akan dimanfaatkan dengan menyantuni anak-anak istimewa di setiap daerah yang dilalui.

Misi Kayuhan Solo Fatbike mengelilingi Semenanjung Malaysia 2023 menyatuni anak anak istimewa ini disifatkan sebagai usahanya mengumpulkan dana bagi membantu warga APIM membangunkan satu medium bagi anak-anak istimewa terutamanya mereka yang mempunyai masalah pembelajaran selepas tamat sekolah.

Khairil Aslan bergambar bersama warga Akademi Permata Impian, Semenyih.

“Warga APIM dalam usaha membangunkan satu medium anak-anak OKU terutama masalah pembelajaran yang telah tamat persekolahan (PPKI) untuk membina masa depan. Dan sebagai langkah permulaan, beberapa siri latihan seperti memasak, berkebun dan pembungkusan telah dilaksanakan.

“Untuk menjayakan matlamat APIM, mereka memerlukan dana untuk menampung kos seperti sewaan premis, utiliti, peralatan latihan kerja dan lain-lain keperluan.

“Mereka juga memerlukan sokongan dan sumbangan daripada pelbagai pihak dalam bentuk peralatan latihan dan kewangan untuk mereka jalankan aktiviti dengan lebih sistematik dan menampung keperluan,” jelasnya.

Misi kayuhan solo ini akan bermula di Semenyih dan seterusnya ke Seremban, Melaka, Batu Pahat, Kuala Rompin, Kemaman dan berakhir di Masjid Bandar Rinching.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan dengan menghubungi talian 012-6348962 (Sharidan Kassim) dan sumbangan dalam bentuk kewangan boleh disalurkan menerusi pindahan wang ke akaun Bank Islam menerusi nombor akaun : 12-195-01-002290-1 atas nama PERTUBUHAN AKADEMI PERMATA IMPIAN SEMENYIH SELANGOR.