LAFAZ pertama pengantin gugup, lafaz kedua pula bapa mentua tersasul sehingga tular satu Malaya dan masuk kali ketiga, alhamdulillah selesai juga.
Itu cerita Muhammad Nor Hafiz Nor Rashidi, 24, yang tular selepas mentuanya tersasul menyebut nama besan pengantin lelaki ketika majlis akad berlangsung.
Detik lucu itu dikongsinya di laman TikTok sejak kelmarin telah ditonton lebih 447,000 warganet.
Malah klip video itu turut dikongsi UtusanTV yang mendapat perhatian lebih 2.1 juta rakyat negara ini.
Reaksi Hafiz yang pantas membetulkan kesalahan bapa mentua “Eh itu nama ayah saya” telah disambut dengan tawa sanak saudara.

Baca : Tiga kali akad, pemuda lafaz RM500 juta tunai nafi ia ‘content’ media sosial
Bercerita kepada UtusanTV, Hafiz menafikan kejadian terbabit adalah lakonan dan mendedahkan dia mengalami kesukaran untuk tidur pada malam sebelum hari akad nikah berlangsung.
“Malam itu saya tidur lambat dalam pukul 2 pagi sebab saya berlatih lafaz untuk akad nikah.
“Namun tidak sangka lafaz pertama gagal juga,” ceritanya sambil tertawa.

Katanya, dia mengakui gugup pada hari bahagia itu dan kejadian terbabit telah mencetuskan tawa sehingga membuatkan Hafiz lebih tenang dan dapat melafazkan akad ketiga dengan sempurna.
“Semasa akad pertama saya gugup dan ayah mentua sebut nama saya dengan betul.
“Saya memang sangat ‘nervous’ ketika itu tetapi pada lafaz kedua, ayah mentua pula tersasul nama bapa sehingga membuatkan saya tergelak. Terus hilang rasa gugup itu,” ujarnya.
Cerita Hafiz lagi, kejadian tersebut membuatkan suasana majlis bertukar riuh rendah dengan tawa.
“Ayah memang gelak terbahak-bahak, mak pula cakap nasib baik suami aku tidak dapat isteri kedua,” ceritanya lagi.
Hafiz selamat diijab kabulkan bersama pasangan, Nur Aqidah Mohamad Azman, 24, dalam satu majlis yang berlangsung pada 11 Disember lalu di Jelebu, Negeri Sembilan.
Hafiz juga menyerahkan mas kahwin sebentuk cincin dan gelang tangan serta hantaran bernilai RM10,000 buat isteri tercinta.

Jelasnya lagi, dia dan isteri berkenalan lebih tiga tahun lalu sewaktu sama-sama menuntut pengajian di Kolej Vokasional Dato’ Lela Maharaja, Rembau.
Tambahnya, pada pagi hari bahagia itu, dia juga tidak menjamah sebarang makanan kerana terlalu gugup.
“Selepas akad nikah, baru ada selera nak minum air dan makan. Sebelum itu nak minum air pun tidak tenang,” katanya.
Hafiz berkata, dia juga menerima nasihat daripada abangnya untuk sentiasa kekal tenang serta kosongkan fikiran sewaktu majlis akad nikah berlangsung bagi mengelakkan terlalu gugup.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

