PADA tahun antara 532 dan 537 Sebelum Masihi, sebuah katedral dibina atas arahan Maharaja Byzantine Justinian. Rekaan katedral yang juga merupakan sebuah gereja Kristian dilengkapi ruang pejabat ini dihasilkan dua arkitek, Isidore dan Anthemius.

Katedral ini dikenali sebagai Hagia Sophia ini menjadi gereja ternama dan mercu tanda Kristian di kota Konstantinople selama hampir 1,000 tahun, sebelum ia jatuh ke tangan seorang pahlawan Islam.

Kota Konstantinople di bawah empayar Byzantine merupakan kota agung yang hebat kekuatan pertahannya. Walau ia cuba ditawan berkali-kali oleh kerajaan Islam dari zaman Khalifah Usman bin Affan, kerajaan Bani Umayyah, kerajaan Abbasiyyah, kerajaan Turki Seljuk dan kerajaan Uthmaniyyah, tidak ada yang berjaya menaklukinya.

Konstantinople, kota agung di bawah empayar Byzantine.

Kedudukan geografi kota ini dikelilingi bukit menyukarkan pihak musuh untuk menyerang. Sempadan kota ini pula menghadap Laut Marmara dan Selat Bhosporus. Hanya laluan laut yang boleh digunakan oleh penyerang. Rintangan rantai besi dibina di sepanjang selat Bhosporus bagi menghalang kapal-kapal musuh daripada memasuki perairan tersebut.

Pertahanan kota ini diperkuatkan dengan binaan benteng kukuh dua lapisan tembok yang mengelilingi kota ini. Tentera pemanah dan alat penembak sentiasa dalam keadaan siap siaga di belakang tembok. Parit juga digali selebar 60 meter dengan kedalaman lebih 30 kaki di bahagian luar kota.

Sebab itu sistem pertahanan kota Konstantinople sukar diruntuhkan. Selama berabad-abad kota ini gagal ditakluki sehinggalah…

RASULULLAH S.A.W pernah bersabda yang berbunyi, “…Konstantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam, Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera...” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Kedudukan geografi kota ini dan pertahanan yang ampuh menyebababkan ia sukar ditawan.

Sejak berkurun lamanya tentera Islam cuba menakluki kota Konstantinople bagi membuktikan kata-kata Rasulullah itu. Namun, satu demi satu serangan menemui kegagalan.

Pernah semasa zaman kerajaan Umayyah melakukan serangan, salah seorang sahabat Nabi iaitu Abu Ayyub telah syahid dan dikebumikan di bawah dinding kubu kota Konstantinopel atas permintaannya sendiri.

“Kerana aku mahu mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang mengetuai sebaik-baik tentera yang berjaya menaluk kota ini,” jawab Abu Ayyub bila ditanya mengapa mahu jasadnya dikuburkan di situ.

Setelah sekian lama, hadis Rasulullah itu tidak juga jadi kenyataan sedangkan generasi sahabat Nabi juga sudah lama meninggal dunia. Hanya selepas 800 tahun setelah hadis itu dituturkan Rasulullah, barulah ia direalisasikan menjadi kenyataan oleh seorang pemimpin Islam dari kerajaan Turki Uthmaniyyah bernama Sultan Muhammad II Al-Fateh.

Dalam sejarah pemerintahan bani Uthmaniyyah, nama Sultan Muhammad II Al-Fateh paling dikenali kerana di bawah pemerintahannya, hadis yang dinyatakan Rasulullah akhirnya jadi kenyataan.

Sultan Muhammad II Al-Fateh, sebaik-baik raja yang menjadikan hadis Rasulullah s.a.w menjadi kenyataan.

Sultan Muhammad II Al-Fateh ditabal menjadi pemerintah ketika usianya 19 tahun, menggantikan ayahnya yang mangkat. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang tasawuf, ketenteraan, sains dan matematik dan menguasai tujuh bahasa.

Misi menawan Konstantinopel diteruskan oleh Sultan Muhammad II Al-Fateh berikutan kegagalan misi ayahnya sebelum itu. Namun, beliau tidak terburu-buru.

Beliau terlebih dahulu mengkaji tentang kota agung itu. Apa faktor kekuatannya, bentuk muka buminya, kelemahannya, termasuk juga punca-punca kekalahan pasukan-pasukan Islam sebelum itu. Setelah mengkaji, barulah beliau merancang strategi peperangan.

Serangan dilakukan pada 19 April 1453 Masihi. Walau serangan dilancarkan setiap hari, pertahanan kota itu masih kukuh. Sultan Muhammad II Al-Fateh hilang akal, tidak tahu lagi bagaimana cara untuk menembusi kota itu. Akhirnya, muncul idea gila apabila beliau menyuruh bala tenteranya mengangkut 72 buah kapal perang mereka menaiki gunung.

Tentera lautnya sebelum itu tidak dapat memasuki kota itu kerana rantai besi yang dipasang di perairan masuk ke kota Konstantinopel.

Disebabkan itu, suatu malam Sultan Muhammad II Al-Fateh mengarahkan tenteranya mengangkat dan menarik 72 buah kapal mereka menaiki gunung sebelum kapal-kapal itu diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn. Ternyata kebijaksanaan beliau membuahkan hasil.

Idea gila Muhammad II Al-Fateh dengan membawa kapalnya merentasi gunung berakhir dengan kejayaan.

Sebagaimana hadis Rasulullah yang memberi gambaran tentang sebaik-baik raja dan tenteranya yang akan menakluki kota tersebut, dalam kitab Bible juga ada menyebut bahawa kerajaan suci Byzantine akan hancur sekiranya berlaku perkara-perkara aneh seperti bukit menjadi lautan, kubah gereja Hagia Sophie terbakar disambar kilat dan patung St.Mary jatuh berkecai.

Kesemua peristiwa yang diramalkan itu digambarkan akan berlaku pada zaman pemerintahan seorang raja yang adil dan dikenali mengikut ramalan Bible. Ternyata ia berlaku pada zaman pemerintahan Muhammad II Al-Fateh. Malah, taktik beliau yang membawa kapal-kapalnya menaiki gunung juga gambaran seperti yang disebut dalam Bible bahawa bukit akan menjadi lautan.

Akhirnya pada 29 Mei 1453, kota Konstantinopel jatuh ke tangan umat Islam. Sultan Muhammad II Al-Fateh kemudian menukar nama Konstantinopel kepada Islambol yang bermaksud ‘Kota Islam’. Beliau menjadikan kota itu pusat pemerintahan kerajaan barunya (sebelum nama itu ditukar menjadi Istanbul oleh Mustafa Kamal Ataturk.)

Tentera beliau tidak pernah sekali meninggalkan solat wajib sejak akil baligh dan separuh daripada mereka tidak pernah meninggalkan solat rawatib. Manakala Sultan Muhammad Al-Fateh pula tidak pernah meninggalkan solat wajib, solat sunat tahajud dan solat sunat rawatib sejak beliau akil baligh sehinggalah ke saat beliau meninggal dunia.

Tepat seperti yang digambarkan hadis Rasulullah, kota agung itu jatuh ke tangan sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera. Lagi satu, semasa berjaya menawan kota Konstantinopel, usia Sultan Muhammad II Al-Fateh baru 21 tahun!

Antara kubu pertahanan zaman dahulu yang masih dapat dilihat hari ini di Istanbul, Turki.
Muhammad II Al-Fateh menjadi antara raja paling dikenali dalam penaklukannya ke atas Konstinaple.
Monumen Muhammad II Al-Fateh di Istanbul,Turkey.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare