Mengagumi nilai dan adat unik budaya Melayu dalam persiapan sebagai raja sehari, pasangan suami isteri, Alvin Goh dan Janice Mok menerusi JV Crafts & Gifts menyatakan keterujaan mereka dalam membantu memudahkan bakal pengantin dengan menjadi hab sehenti bagi barangan perkahwinan.

Ulas Janice Mok ketika ditemui pada Majlis Pelantikan Ryan Deedat sebagai duta JV Craft & Gifts, bangsa Melayu penuh dengan adat dan pelbagai tema yang cukup menarik untuk dipersembahkan pada hari bahagia, dan mereka cukup teruja menjadi sebahagian daripada majlis ikatan dua jiwa.

“Terdapat kepelbagaian tema dalam perkahwinan Melayu dan ia cukup berbeza daripada perkahwinan bangsa Cina. Malah setiap tema akan berbeza daripada segi budaya dan itu cukup mengujakan kerana terdapat tema Melayu tradisional, Jawa dan pelbagai lagi. Selalunya bakal pengantin akan datang dan memberi contoh tema yang diimpikan.

“Dan juga yang datang meminta khidmat nasihat tema terbaik mengikut spesifikasi yang diingini. Dan terbaharu, tema Dior yang mewakili bunga-bungaan segar dengan warna pastel sedang trending untuk dijadikan hantaran. Malah, kami juga akan melaksanakan idea terbaik mengikut bajet yang diberikan bakal pengantin.

“Kesimpulannya kami menjadi hab sehenti bagi bakal pengantin menyempurnakan impian perkahwinan mereka,” ulasnya.

Janice Mok selaku Pengarah Urusan JV Craft & Gifts turut menyatakan pelantikan penyanyi dan komposer Ryan Deedat menjadi duta bagi melebarkan lagi nama mereka di persada dunia perniagaan perkahwinan. Malah pelancaran lagu ‘Hantaran Raya’ sempena Ramadan nyanyian Ryan bersama pihak pengurusan dijangka bakal menyemarakkan lagi jenama di kalangan masyarakat.

“Dengan Ryan Deedat sebagai duta jenama, kami yakin akan terus menyediakan produk dan perkhidmatan yang luar biasa kepada pelanggan yang dihargai. Kami menantikan perkongsian baharu ini dan kemungkinan menarik yang dibawanya,” tambahnya lagi.

Terdahulu, JV Craft & Gifts telah berkecimpung dalam dunia perniagaan perkahwinan selama empat tahun dan pandemik yang melanda pada 2020 membuka satu lagi ruang perniagaan dalam pasaran dalam talian. JV Craft & Gifts merupakan hab sehenti yang menjual pelbagai keperluan untuk majlis perkahwinan seperti doorgift, bunga telur, dulang hantaran, bunga hiasan, pokok viral, aksesori rumah, reben dan lace. Selain itu, mereka turut menawarkan perkhimatan untuk gubahan hantaran, bunga tangan pengantin, bunga pasu dan mas kahwin.