darah istihadah dan nifas

Bagi remaja atau wanita yang tidak pernah mengalami istihadah, mereka sering kali keliru untuk membezakan antara haid dan istihadah. Darah istihadhah dari sudut bahasa ialah darah biasa dan bukannya darah haid walaupun keluar berterusan dengan darah haid.

Ia merupakan darah yang keluar berterusan dari dalam rahim selepas tempoh haid. Ia juga dikenali sebagai darah penyakit dan tumpahan sama ada ia keluar mengiringi haid ataupun tidak.

Namun berbeza dengan darah-darah lain. Mereka yang mengalami darah istihadah tergolong dalam kategori orang-orang uzur. Dari segi hukum, wanita istihadah dianggap sebagai wanita suci dan boleh melakukan semua perkara yang haram dilakukan oleh wanita haid.

Wanita yang mengalami istihadah tidak diwajibkan mandi wajib sebagaimana haid dan nifas. Mengikut mazhab Syafie, wanita istihadah hanya sah menunaikan satu solat fardu atau satu solat qada’ atau satu solat nazar dan solat-solat sunat untuk sekali wuduk.

Baca artikel berkaitan: Pandangan ulama terhadap darah haid dan bila wanita dihukum baligh?

Dengan kata lain, satu kali wuduk sah untuk satu solat waktu atau wajib dan beberapa solat sunat dalam waktu itu. Mereka hendaklah mengambil wuduk setelah masuk waktu solat. Sebelum mengambil wuduk, mereka hendaklah membasuh faraj dan membalutnya dengan kapas atau tuala wanita agar tidak menitik najis darah ke tempat lain.

Bagi mereka yang tidak tahu bagaimana untuk membezakan darah haid dengan darah nifas, Pensyarah Jabatan Syariah, Akademi Islam Kolej Universiti Islam Selangor, Noor Syahida Abdul Rahman menerangkan bahawa istihadah boleh dikenal pasti dengan menentukan warna dan bau.

Oleh itu untuk membezakan darah haid dan darah istihadah dengan memerhatikan sifat-sifat darah tersebut. Darah yang berwarna hitam (merah kehitaman), pekat dan berbau ia adalah darah haid. Bagi darah istihadah ia berwarna merah, cair dan tidak berbau. 

Diriwayatkan dalam sebuah hadis bahawa Rasulullah s.a.w bersabda kepada Fathimah binti Abi Hubaisy r.a:

“Apabila darah itu adalah haid maka sesungguhnya ia hitam (lagi) dikenali, justeru hendaklah kamu menahan dari melakukan solat. Jika ia adalah (darah) selain itu maka hendaklah kamu berwudhu’ dan mendirikan solat kerana sesungguhnya ia adalah (darah) penyakit.”

Hadis berikut menjadi rujukan bahawa istihadah juga merupakan ganguan syaitan terhadap rahim wanita. Himnah binti Jahsy r.a pernah bertanya kepada Rasulullah r.a:

“Ya Rasulullah! Sesungguhnya saya seorang wanita yang didatangi istihadah yang amat banyak, apakah pandangan engkau berkenaannya? Sesungguhnya ia menegah aku daripada mendirikan solat dan puasa.”

Rasulullah menjawab, “Aku akan terangkan untuk kamu (cara menggunakan) al-Kursuf (kapas yang diletakkan di faraj), sesungguhnya ia dapat menghilangkan darah.”

Himnah berkata: “Ia (darah saya) lebih banyak dari demikian itu”.

Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya ia (pendarahan kamu) adalah hentakan dari hentakan-hentakan syaitan, maka (apabila) kamu didatangi haid selama enam atau tujuh hari pada ilmu Allah Ta’ala, hendaklah kamu mandi apabila kamu lihat bahawa kamu telah suci (dari darah haid), maka hendaklah kamu solat pada pada dua puluh tiga malam atau dua puluh empat malam dan siangnya dan hendaklah kamu berpuasa.” Sunan Abu Daud(Kitab al-Thaharah) dan Sunan al-Tirmizi – (Kitab al-Thaharah)

Nifas keluar selepas proses kelahiran

Darah nifas pula merupakan darah wanita yang melahirkan anak. Telah menjadi kebiasaan bagi wanita yang melahirkan anak akan diikuti dengan keluar darah dalam tempoh tertentu. Inilah yang dikenali dengan nifas. Nifas dari segi bahasa berasal daripada perkataan “na fi sa” yang bermaksud melahirkan. Darah nifas dari segi etimologi ialah darah yang keluar dari rahim wanita sesudah bersalin.

Menurut mazhab Syafie, darah nifas ialah darah yang keluar setelah melahirkan. Sekiranya bayi masih belum keluar kesemuanya, maka belum lagi dikatakan darah yang keluar ialah darah nifas tetapi dianggap darah penyakit. Oleh sebab itu, sekiranya wanita yang belum melahirkan tetapi amat sukar menunaikan ibadah solat disebabkan sakit melampau dan sebagainya, maka hendaklah dia melaksanakan solat sambil baring atau dengan mata.

Ulama sepakat mengatakan bahawa tiada tempoh minimum bagi nifas, walaupun sekadar satu titik darah sahaja yang keluar atau sedetik, tetap dikira darah nifas. Namun mereka berselisih pendapat dalam menentukan tempoh maksimum bagi nifas. Majoriti berpendapat bahawa darah nifas biasanya paling singkat satu hari dan paling lama 60 hari,” katanya lagi.

Syahida juga menerangkan terdapat sesetengah wanita yang tidak dapat bersalin normal disebabkan komplikasi tertentu sehingga terpaksa dibedah. Hukum bagi wanita yang bersalin dengan kaedah pembedahan adalah sama dengan wanita yang keluar nifas selepas bersalin normal.

Apabila ada darah keluar, maka hendaklah ia meninggalkan solat dan puasa. Sebaliknya jika tiada darah yang keluar, maka hendaklah ia mandi wajib wiladah sahaja dan mengerjakan solat serta berpuasa seperti biasa.

Wanita keguguran

Manakala bagi wanita yang keguguran, jika bayi yang dikandungnya telah cukup sifatnya, darah yang keluar itu adalah darah nifas. Namun sebaliknya, jika janin masih dalam keadaan segumpal darah atau daging, maka darah yang keluar itu hanyalah darah haid.

Ulama telah sepakat menyatakan bahawa wajib mandi bagi wanita yang telah kering daripada nifasnya. Cara-cara mandi adalah sama dengan mandi wajib setelah haid yang sedia maklum dalam kalangan wanita. Cuma yang membezakan adalah niat, atau boleh juga berniat dengan niat yang umum iaitu mengangkat hadas besar.

Bagi wanita yang bersalin kembar, masa nifasnya dikira bermula daripada kelahiran anak kembarnya.

Sekiranya ada darah yang keluar sebelum melahirkan, darah yang keluar tidak diikuti oleh rasa sakit akibat kontraksi, maka darah tersebut bukan darah haid. Oleh sebab itu, ibadah sepatutnya diteruskan seperti biasa. Namun sekiranya darah yang keluar diikuti oleh kontraksi yang menyebabkan rasa sakit hampir melahirkan, maka darah itu darah nifas.

Suami tidak boleh menggauli isterinya selama mana isteri masih dalam nifas. Namun bagi suami yang tetap menggauli isterinya dalam tempoh itu, tiada kafarah dikenakan sebagaimana yang ditetapkan terhadap suami yang menggauli isterinya semasa bulan Ramadan. Wallahu a’lam

__________________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’