PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyangkal dakwaan segelintir pihak mengenai kediaman yang dibeli di Dubai berharga puluhan jutaan ringgit.
Menurut Siti,44, dia membeli aset di negara Timur Tengah itu sebagai satu pelaburan untuk masa hadapan.
“Semua orang ada impian dan itu (kediaman) antara impian saya. Saya anggap pembelian hartanah itu adalah sebagai satu pelaburan.
“Selain itu saya juga bercadang ingin menggembangkan perniagaan di Timur Tengah. Saya juga memang suka dengan Dubai kerana ia negara yang pesat membangun.
“Pun begitu, harganya tidaklah sebagaimana yang digembar-gemburkan. Saya belum mampu lagi mencapai tahap itu,” ujarnya memetik laporan Harian Metro.
ARTIKEL BERKAITAN: Asyraf Khalid ucap tahniah kepada Siti Nurhaliza kerana berjaya miliki rumah pertama di Dubai, siap berseloroh dah tak perlu sewa hotel
Dalam pada itu, penyanyi Anta Permana ini menganggap pelaburan hartanah di negara itu sangat strategik dari segi lokasi selain mahu menjengah pasaran perniagaan di sana.
“Berkemungkinan satu hari nanti kerjaya saya akan berkembang di sana. Itu juga salah satu negara Islam yang maju.
“Segala yang terbaik ada di sana. Selain itu, saya suka dengan kepesatan dan pembangunan di sana,” kongsinya.
Terdahulu, pada Disember lalu, anak tiri Siti iaitu Asyraf Khalid mendedahkan penyanyi itu membeli sebuah kediaman mewah di Dubai yang terletak di The Address Beach Resort dan mahu menjadikan kejayaannya itu sebagai inspirasi.
Malah, ketika percutian Siti bersama keluarga di Dubai, dia turut berkongsian ruangan rumah mewahnya dan suasana di luar kawasan kediamannya.

