tiada darah wiladah dalam perubatan

Darah wiladah merupakan darah yang keluar melalui rahim ketika bersalin. Darah tersebut mengiringi kelahiran anak. Ramai yang keliru tentang darah wiladah dengan darah nifas. Darah wiladah hanya mengalir keluar bersama anak yang dilahirkan. Tidak awal dan tidak lewat.

Bagi mereka yang tidak mengeluarkan darah nifas selepas lahir, dia tidak perlu mandi wajib nifas, tetapi hanya mandi wiladah sahaja.

Bagaimana pula perubatan mengklasifikasikan darah-darah wanita ini? Al Islam juga tidak ketinggalan untuk menemubual Pakar Obstetrik dan Ginekologi O&G Pusat Rawatan Az Zahrah Bandar Baru Bangi, Dr. Mashita Mohd Kassim mengenai darah-darah wanita ini. Menurut Mashita, dalam perubatan darah yang biasa dialami oleh wanita ialah haid, istihadah dan nifas. Tidak ada darah wiladah dalam perubatan.

Baca artikel berkaitan: Pandangan ulama terhadap darah istihadah dan nifas adakah mereka boleh beribadah atau tidak?

Dalam istilah perubatan, darah haid merupakan darah yang turun tiap-tiap bulan secara kitaran. Haid atau menstruasi adalah keluarnya darah dari vagina kerana luruhnya lapisan dinding rahim yang banyak mengandungi pembuluh darah. Kebanyakan senggugut berlaku apabila lapisan dinding rahim ini runtuh.

Ramai daripada  wanita merasa tidak selesa semasa tempoh ini, dan lebih separuh daripada mereka mengalami kesakitan untuk satu atau dua hari setiap bulan. Ketika kedatangan haid aktiviti fizikal wanita akan merosot apabila tiba waktu haid, namun ia tidak dihadapi oleh semua wanita.

Baca juga: Pandangan ulama terhadap darah haid dan bila wanita dihukum baligh?

Hormon yang dirembeskan sewaktu tiga peringkat kitaran haid mungkin mencipta perbezaan dalam prestasi yang dipamerkan. Antara hari pertama hingga hari ke-13, tahap estrogen lebih rendah. Tetapi apabila folikel mula membesar dalam ovari, tahap estrogen akan meningkat.

Ketika proses pengovulan, biasanya pada hari ke 14, lebih banyak hormon akan dibebaskan. Jika kehamilan tidak berlaku, tahap progesteron meningkat manakala tahap estrogen mula menurun.

Manakala menurut Mashita, bagi darah istihadah pula tiada perbezaan yang ketara antara perubatan dengan agama Islam berkaitan istihadah. Istihadah terjadi apabila pendarahan berlaku pada dinding rahim. Darah ini keluar melebihi norma darah haid.

Perubatan mengenalpasti istihadah melalui kitaran haid seseorang. Apabila terdapat ganguan hormon pada tubuh badan seseorang dan ganguan pada persekitaran rahim menyebabkan turunnya darah istihadah.

Ada sesetengah wanita yang mengalami masalah kitaran haid, hal ini juga menyebabkan berlaku masalah untuk menentukan istihadah. Dalam perubatan, jika seseorang itu tidak datang haid selama dua hingga tiga bulan, mereka dikenal pasti sebagai oligomenorrhea.

Bagi wanita yang mengalami pendarahan istihadah ini perlu berhati-hati menjaga kebersihan kerana istihadah juga boleh menyebabkan jangkitan kuman pada peranakan yang dinamakan Pelvic Inflammatory Disease (PID).

Mashita menerangkan lagi, darah nifas pula berlaku selepas melahirkan anak. Dalam perubatan ia dikenali sebagai lochia, sama ada melalui pembedahan caesarean atau kelahiran normal, wanita akan mengalami pendarahan melalui faraj. Darah ini keluar ekoran daripada luka akibat bekas lekatan antara uri dan selaput.

Nifas juga merupakan sebahagian daripada proses penyembuhan rahim di mana dinding rahim yang menebal semasa hamil menjadi gugur dan otot rahim yang membengkak menjadi kecut.

Namun ada juga wanita yang mengalami darah petanda atau show sebelum bersalin. Darah ini adalah sejenis lendir yang terkumpul dan terjatuh akibat rahim menipis serta menegang kerana bergesel dengan kepala bayi.

Sesetengah wanita keluar tanda diserta dengan darah ini biasanya dipanggil kembar darah, manakala jika tanda yang keluar didahului dengan air ketuban, itu merupakan kembar air.

Dalam tempoh satu hingga tiga hari pertama selepas bersalin, wanita akan mengalami aliran pendarahan yang banyak dan kadang-kadang mungkin terdapat ketulan darah keluar dari faraj.

Jangan risau kerana ia agak normal. Begitu juga jika kali pertama berdiri selepas melahirkan mungkin akan berlaku darah mengalir turun daripada faraj ke kaki. Ini juga merupakan sesuatu normal kerana apabila kita duduk atau berbaring, darah bertakung dalam faraj dan keluar semasa berdiri akibat tarikan graviti. Jumlah darah nifas akan berkurangan pada hari-hari berikutnya.

Wanita bersalin juga mungkin akan mengalami aliran darah yang banyak semasa menyusukan bayi. Keadaan ini berlaku kerana stimulasi pada puting akan meninggikan rembesan hormon oxytocin yang akan menyebabkan rahim anda mengecut dan seterusnya mengalakan aliran darah nifas.

Disebabkan ini, mereka yang menyusu lebih kerap akan mengalami tempoh aliran nifas yang lebih singkat dari mereka yang tidak menyusu badan. Ini adalah salah satu kebaikan susu ibu kerana ia mengurangkan risiko tumpah darah.

Selepas dua minggu, warna darah anda akan bertukar lebih kepada warna perang dan kemudiannya akan beralih kepada warna kekuningan untuk beberapa minggu lagi. Darah nifas selalunya akan berhenti sepenuhnya selepas enam hingga lapan minggu. Wallahu a’lam

_______________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’