“SEORANG isteri mengadu dia ditinggalkan suaminya lebih tiga bulan kerana suaminya bercinta dengan wanita lain. Puas dia pujuk suaminya supaya kembali ingat keluarga dan anak anak, tetapi lagak gaya suaminya dah jadi macam orang bodoh. Di tanya tak mahu jawab malah bercakap pun tak mahu. Asyik termenung sahaja. Dan dia jarang balik rumah, kalau balik pun, dia langsung tak layan anak anak malah dia anggap saya macam tunggul. 

“Saya percaya suami saya sudah kena buatan orang, mesti diguna-gunakan oleh kekasihnya sebab itu dia tak suka balik rumah. Tak mahu beri saya duit untuk makan minum, malah dalam poketnya pun tidak ada duit, paling banyak RM30. Hinggakan saya nak ambil pun rasa serba salah, mungkin itu duit makan minumnya semasa bekerja. Jadi saya terpaksa cari duit lain untuk teruskan hidup bersama dua orang anak saya yang masih kecil.’’ Itu keluhan Elena menceritakan penderitaannya yang semakin teruk lebih tiga bulan lalu. 

“Sebelum ini ada juga suami beri saya duit belanja dapur, bayar bil utiliti dan sewa rumah, tetapi sejak tiga bulan lalu, sewa rumah semua dia tak mahu bayar. Kalau balik bawa duit RM30 mana cukup. Mana saya nak cari duit, dulu saya bekerja tetapi Tee suruh berhenti, katanya duit upah mengasuh anak mahal sangat, lebih baik saya jaga sendiri. Jadi saya ikut cakapnya, sekarang saya langsung tak bekerja, apa nak makan? 

“Sebenarnya masalah keluarga kami bermula lebih setahun lalu, sejak Tee bercinta dengan seorang wanita yang lima tahun tua daripadanya, berumur lebih kurang 37 tahun. Sejak itu dia tak ingatkan kami, ini semua gara-gara kena ilmu penunduk wanita tersebut, supaya Tee ikut semua cakap dan kehendaknya. Sekarang saya ditinggalkan, dengar cerita mereka nak kahwin. Tetapi saya akan diceraikan dulu sebab kekasihnya tak mahu bermadu dan susah kalau nak berpoligami, banyak peraturan mahkamah Syariah. Jadi lebih mudah cerai, nikah dengan duda senang. 

“Cerita percintaan mereka saya dapat tahu dari rakan sekerja Tee yang bersimpati dengan saya. Dan Tee tak takut jika saya tuntut nafkah, bukan senang nak dapat. Tee ada teknik dan cara untuk elak bayar nafkah. Sebab itu Tee sanggup tinggalkan saya. 

“Saya tahu hidup Tee semakin senang sekarang, dia memandu kereta baru jenis SUV bila balik rumah, saya tanya baru beli kereta ke? Tee tak jawab, terus tidur di sofa. Esok jam 7.00 dah pergi kerja, minum kopi di rumah pun dia tak mahu, makan nasi memang tak selera langsung sebab saya makan nasi dengan telur dadar dan kicap. Susu anak kecil saya, adik yang belikan. Kalau tidak mati kebulurlah anak saya. 

“Saya sedar Tee mahu hidup senang, gajinya pun bukanlah banyak sangat. Nak pakai kereta, mana nak cari duit. Naik motor dia selalu bersungut sebab sering kena hujan dan berpanas hingga kulit tangannya berbelang. Mungkin kerana inginkan kesenangan hidup, Tee sanggup korbankan kehidupan kami anak beranak untuk mencari kesenangan dengan menumpang kemewahan perempuan lain. 

“Dulu Tee suami yang baik, selalu nasihatkan saya bersabar hidup dengannya kerana pendapatan dia tak banyak. Saya tak kisah, asalkan ikut jalan yang betul. Kalau tak ada duit, buat cara hidup tidak ada duit. Berbelanja dan makan ala kadar, yang penting ikhlas, jujur dan setia, semuanya akan berjalan dengan sempurna. Tetapi sejak kelahiran anak kedua saya yang kini berusia lebih setahun, gaya hidup Tee berubah dia sering lewat balik rumah katanya nak kerja lebih masa untuk cari duit tambah. 

“Sebab itu saya tak kisah kalau dia balik lewat sebab tahu niatnya. Kadang tu katanya hari Sabtu dan Ahad pun dia kerja. Katanya nak tanggung perbelanjaan keluarga beli susu dan  bayar sewa rumah. Jadi saya tak kisah kalau dia jarang jarang ada di rumah. Sebab saya tahu dia jujur dan ikhlas mencari duit tambah untuk keluarga. 

“Tetapi sejak akhir-akhir ini dia dah mula lupa makan minum kami, sewa rumah sering lewat bayar, bil utiliti selalu tercicir. Saya jadi khuatir dan saya tanya mengapa tak bayar bil semua, sewa rumah dan belanja makan minum kami. Dia mula tunjuk muka garang, cepat je mengamuk dan menengking saya. Ini yang membuat saya pelik perubahannya. 

“Sejak itu saya mula mencari apa sebenarnya terjadi, saya sering bertanya dan saya selalu kena marah. Bila tuan rumah tanya mana sewa rumah tentulah saya malu, tentu saya tanya Tee tapi saya pulak kena marah. 

“Saya pernah pinjam duit adik untuk bayar sewa rumah, bukan murah RM600. Adik bagi tetapi bukanlah selalu, dia pun nak hidup, gajinya tak seberapa. Kerana sewa rumah dan keadaan hidup kami yang mula kacau bilau inilah saya mula cari jalan tahu. Akhirnya ada umat Allah yang simpati membantu. 

“Dari situ baru saya tahu rupanya selama ini bukan Tee bekerja lebih masa tetapi pergi enjoy makan minum, berjalan makan angin, berhibur sana sini dengan kekasihnya. Bila dah terbongkar saya tanya Tee, dia menafikan. Malah menuduh saya sengaja cari jalan nak hancurkan rumah tangga kami. Saya kata saya tak ada kekasih, tetapi dia yang cari kekasih dan dia yang hendak hancurkan keluarga ini.  

“Sejak kes terbongkar, Tee dilanda sindrom bisu, semua di tanya tak mahu jawab. Kalau salah tanya, saya pulak kena marah. Saya pernah minta bantuan mertua saya, melalui ipar tapi mereka kata mana emaknya nak cari duit, sedangkan makan minum emaknya pun mereka adik beradik yang tanggung. Malah saya pula dimarah kerana Tee sering susahkan hidup emaknya, sejak kecil hingga dah kahwin Tee sering minta duit emak mereka. 

“Manalah saya tahu perangai Tee, mereka lebih kenal. Sebab itu adik beradik Tee bawa emak mereka tinggal bersama sebab Tee selalu minta duit. Memang saya tak tau perangai Tee sebelum ini. Sekarang baru terbongkar semuanya. 

“Jadi kepada siapa saya nak minta bantuan, adik beradik tiga orang perempuan, cuma Tee seorang lelaki. Ayahnya dah meninggal. Emak pula tak berduit. Saya merayu pada Tee kasihanlah anak-anak yang masih kecil. Tapi dia buat pekak bisu. Saya sedar mungkin saya akan diceraikan jika itu kehendak kekasihnya. Dan Tee memang mahukan kesenangan hidup, jika kekasihnya sedia menanggungnya. 

“Masalahnya sekarang macam mana saya nak cari kerja dengan dua orang anak yang masih kecil. Nak harapkan Tee bagi nafkah memang hampa, sekarang pun dia tak pedulikan kami. Kalau saya tak bekerja, apa nak makan, mana nak duduk, pasti saya kena halau dari rumah ini sebab nak masuk empat bulan tak bayar sewa, mana ada tuan rumah yang boleh bersabar, mereka pun nak hidup. 

“Saya bingung dengan keadaan diri saya sekarang. Nak balik kampung takkan nak suruh emak jaga anak-anak saya sebab emak dah lanjut usia. Adik suruh saya tumpang duduk bilik sewanya. Kawannya sedia keluar kerana simpati dengan saya. 

“Kata adik dia akan carikan kerja, bila dapat kerja, saya hantar anak-anak sementara rumah emak untuk sebulan dua. Bila ada duit, cari pengasuh untuk jaga anak. Saya setuju. Inilah sahaja cara nak hidup. Mungkin tak lama lagi saya keluar rumah. 

“Tetapi saya sedih sanggup Tee tinggalkan kami tanpa nafkah. Semata mata kerana ingin mengejar kesenangan hidup. Mungkin di sinilah silapnya ibu bapa mendidik anak-anak lelaki, mereka tidak diberitahu tanggungjawab dan cara mereka mendidik anak-anak dengan beri kasih sayang berlebihan serta mengikut kehendak anak bila perlukan wang. Akhirnya menyusahkan hidup ibu bapa sendiri selain Tee yang tidak tahu tanggungjawab. 

“Adik beradik Tee merungut dengan perangai Tee yang selalu tak cukup duit dan mereka salahkan saya kerana tak bekerja bantu Tee. Bukan salah saya berhenti kerja, tetapi Tee yang desak sebab upah menjaga anak terlalu mahal. Kalau saya tahu begini perangai Tee dari awal tentu saya bersedia dan pasti saya tak berhenti kerja, tetapi semuanya sudah terlambat. 

“Saya tetap salahkan ibu bapa kerana tidak didik anak lelaki bekerja keras cari duit untuk diri sendiri dan keluarga. Bukannya memberi dia duit bila di minta, akhirnya anak seperti ini pasti menyusahkan ibu bapanya sendiri bila mereka semakin tua nanti.         

“Benar sangat mengapa adik beradik Tee tak berapa sukakan Tee, malah mereka merungut dengan perangai Tee yang banyak menyusahkan emak mereka sentiasa minta duit. Setiap bulan mereka hantar duit untuk emak, tetapi Tee datang mengadu nak pinjam duit emak, alasannya dia tak cukup duit belanja dan beli susu anak. 

“Kerana simpati pada emak mereka yang sering merayu minta duit, anak-anak perempuan beri juga, tapi akhirnya mereka berpakat bawa emak tinggal di rumah mereka untuk beberapa tahun bergilir gilir. Mulanya emak enggan ikut, tetapi dia takut dengan Tee yang sentiasa marah kalau tak dapat duit, akhirnya emaknya ikut duduk rumah anak anak perempuannya, pasti Tee keputusan duit dan dia mula mencari orang lain yang mahu menolongnya.’’ 

Demikian keluhan dan luahan rasa kecewa Elena yang gagal menagih simpati suami supaya jadi suami bertanggungjawab, malah dia sanggup tinggalkan keluarga untuk mengejar kesenangan hidup. 

Dari perbualan kami kemudiannya, Elena setuju mungkin suaminya bukan kena ubat guna-guna, tetapi kerana sifatnya yang suka tumpang kesenangan hidup orang lain. 

Sekiranya anda ingin menghubungi penulis telefon 0192393419 atau 0122833143 dan jika anda ingin melahirkan masalah anda sila email ke [email protected]  atau [email protected]