Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir

MALAYSIA menggesa kerajaan Sweden untuk mengambil tindakan segera terhadap tindakan ahli politik Sweden-Denmark, Rasmus Paludan yang bertindak membakar senaskhah al-Quran di Stockholm, Sweden, kelmarin.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan, kerajaan Sweden perlu mengambil langkah serius untuk memerangi sentimen Islamofobia yang semakin membimbangkan di negara itu.

Zambry berkata, Malaysia juga mengutuk sekeras-kerasnya tindakan dilakukan Paludan yang disifatkannya ekstrim itu.

Menurut beliau, tindakan keji itu jelas merupakan serangan secara terang-terangan terhadap Islam dan umat Islam di seluruh dunia.

Malah, Zambry menegaskan, ia telah melampaui batas moral dan norma hak kebebasan bersuara.

“Tindakan kerajaan Sweden untuk tidak mengambil sebarang tindakan bagi menghentikan aktiviti yang melampau ini, walaupun terdapat beberapa bantahan daripada pelbagai pihak tidak boleh diterima sama sekali dan boleh memberi eksan serius terhadap hubungan antara Sweden dan umat Islam di seluruh dunia.

“Ketaksuban, perkauman dan penodaan keji terhadap kitab suci itu tanpa mengira agama adalah tidak boleh diterima dan wajar dikutuk.

“Malaysia mengulangi bahawa kebebasan bersuara tidak boleh disamakan dengan kebebasan menghina. Ia bertentangan dengan prinsip sejagat dalam menghormati agama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Bakar Al-Quran: Malaysia kecam provokasi ahli politik Denmark – PM

Sehubungan itu, Zambry berkata Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk bekerjasama memerangi sentimen Islamofobia dan menggalakkan hubungan harmoni serta kewujudan bersama secara aman dalam kalangan individu yang berbeza agama dalam komuniti global yang pelbagai.

“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan komuniti antarabangsa bagi mencegah dan menghapuskan segala bentuk keganasan serta kebencian terhadap Islam termasuk sentimen Islamofobia dan ekstremisme,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui kenyataan turut mengutuk keras tindakan Paludan yang membakar naskhah kitab suci itu di Stockholm, Sweden.

Tokoh berhaluan kanan parti Stram Kurs itu membakar al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye selepas mendapat permit kerajaan Sweden dengan dikawal ketat pasukan polis.

Aksi biadab Paludan yang turut menghina Islam itu menyebabkan Turkiye bertindak balas membatalkan lawatan Menteri Pertahanan Sweden, Pal Jonson ke negara berkenaan.

Beberapa negara Islam lain juga mengecam perbuatan kurang ajar pemimpin yang turut memiliki kerakyatan Denmark itu sebagai provokasi kebencian amat melampau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram