SEBELUM  zaman ‘viral’ media sosial, frasa ‘cancel’ tidak wujud. Kini, ‘cancel’ telah menjadi satu fenomena di mana seseorang akan ‘dipotong’ daripada sokongan orang ramai kerana satu perbuatan.

Mungkin sebab pengguna- dulu mengambil ringan isu-isu yang terjadi di dunia siber. Namun, generasi sekarang tidak beberapa “memaafkan” berbanding dengan generasi lama. Isu besar atau sekecil mana pun akan diungkit yang telah memperbetulkan stigma masyarakat dulu yang kerap bersikap rasis dan biadab.  

Kadang-kadang budaya ini digunakan dengan baik. Tidak salah untuk kita menegur dan meminta manusia untuk bertanggungjawab ke atas tindakan mereka sendiri tetapi ada kalanya, ia digunakan dengan salah.

Kini, ia banyak digunakan untuk menjatuhkan manusia yang mereka tidak suka dengan mengungkit isu-isu kecil, kadang-kadang kisah silam yang ingin dilupakan. Generasi kini dikenali sebagai golongan yang kadang-kadang terlampau sensitif dan suka memperbesarkan isu semata-semata kerana perbezaan pendapat.

Tindakan ‘cancel’ orang ini juga tidak memberikan manusia peluang kedua.  Artis-artis dan figura-figura yang mempunyai reputasi dalam media sosial sering menjadi sasaran utama oleh rakyat internet. Mereka tahu satu kesalahan kecil boleh mengakhiri kerjaya mereka. Kesalahan itu akan diungkit sepanjang mereka wujud di atas muka bumi.

Budaya ini semakin lama membina satu persekitaran yang tidak sihat dalam kalangan masyarakat di internet kerana seseorang tidak boleh jujur walaupun sesama rakan  sendiri.

Makin lama, media sosial sudah bertukar daripada satu medium lutsinar di mana semua berhak untuk meluahkan pendapat kepada satu kolam toksik. Ia menjadi satu tempat di mana apa saja yang dikatakan tidak boleh diterima jika ia tidak ‘inclusive’ untuk semua orang terutamanya tentang isu LGBTQ+ walaupun banyak menentang pergerakan tersebut atas dasar agama dan kerana ia mencabul hak dan keselamatan wanita.

Contohnya seorang penulis buku di England yang dibuang oleh syarikatnya kerana menyokong J.K Rowling untuk menentang wanita transeksual Ada kalanya manusia yang kena ‘cancel’ ini tidak diberikan peluang untuk memberikan penjelasan atau untuk memperbetulkan keadaan sebelum dicampak keluar dari muka bumi.

Ketika fenomena ini bermula, ia digunakan dengan baik. Ia menjadi satu senjata supaya manusia mengambil tanggungjawab  kepada tindakan mereka yang menghina kaum, agama atau budaya seseorang. Namun kini, ia hanya memberikan peluang kepada orang lain untuk menggunakan alasan ‘cancel’ tersebut untuk menjatuhkan orang lain.

Agak hipokritikal untuk generasi sekarang untuk menggelar ‘cancel culture’ sebuah bentuk keadilan kerana adil ialah apabila kita memberikan semua orang peluang untuk mempunyai pendapat. Tetapi manusia di internet bergesa-gesa untuk jatuhkan seseorang jika dia tidak menyokong sesuatu yang mereka rasa PATUT disokong.

Mungkin ada eloknya ‘cancel-cancel’ orang ini tetapi hampir setiap masa, manusia sering dipersalahkan atas benda-benda kecil – kadang-kadang dituduh tanpa siasatan lebih mendalam. Apa gunanya senjata jika ia  disalah guna?

*Penulis adalah graduan kewartawanan Uitm.