jangan berputus asa

Kejadian bunuh diri setiap hari berlaku dan rekod dunia mencatatkan bahawa bilangannya semakin ramai dari hari ke hari. Sejak berkurun-kurun kes itu telah diperbincangkan bukan bermula ketika zaman Greek atau Rom tetapi ketika Rasulullah masih hidup perkara itu telah berlaku.

Mungkin bagi budaya Jepun hara kiri atau membunuh diri dianggap sebagai satu cara kematian yang mulia di dalam masyarakat feudal. Ia adalah sebahagian dari bushido iaitu kod bagi samurai supaya tidak dimalukan apabila jatuh ke tangan musuh.

Namun di dalam Islam membunuh diri adalah haram. Di dalam surah An-Nisaa: 29,

“Dan janganlah kamu membunuh dirimu; sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu.”

Apa yang diperintahkan  dan dilarang oleh Allah adalah sebagai bukti kasih sayang-Nya terhadap sekalian hamba-Nya. Kehidupan adalah anugerah dari Allah dan menjadi tanggungjawab kita untuk menjaganya. Tindakan membunuh diri, berputus asa daripada rahmat Allah amat dilarang.

Cuba pejamkan mata dan renung sejenak tentang kehidupan ini, banyak momen indah yang berlaku setiap hari berbanding momen menyakitkan. Apabila tiba momen indah, hati akan keriangan, ketawa gembira dan merasa nikmat manisnya hidup.

Namun bila datang momen menyakitkan ia membawa kesedihan, kekecewaan, bimbang dan tidak dapat mengawal emosi maka dengan mudah putus asa menjengah.

Perasaan putus asa datang apabila seluruh harapan menjadi hampa dan situasi itu amat berbahaya. Walaupun Allah telah mengingatkan agar jangan berputus asa terutama daripada rahmat-Nya. 

Allah tidak pernah meninggalkan kita sendirian untuk berhadapan dengan cubaan dan ujian di dunia ini kerana Dia telah bekalkan kita dengan senjata ampuh untuk menghadapi semuanya.

Panduan yang Allah beri cukup jelas iaitu siapa yang beriman dan melakukan amal soleh dijanjikan dengan syurga, mereka kekal di dalamnya.

Firman Allah, “Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, Kami akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, sebagai janji Allah yang benar. Dan siapakah yang lebih benar perkataannya daripada Allah?” (surah An-Nisaa’: 122).

Hanya ikut saja apa yang telah Allah gariskan pasti selamat walau besar sekalipun dugaan yang datang. Malangnya, kita suka mengambil tindakan sendiri dengan memisahkan kehidupan dunia dengan kehidupan beragama. Dunia dan kehidupan ini hakikatnya diciptakan sebagai medan ujian untuk kita manusia. Dan itulah yang Allah peringatkan kepada kita melalui firmannya dalam surah al-A’raf: 168,

“Dan Kami pecahkan mereka di dunia ini kepada beberapa golongan,di antaranya ada yang soleh dan di antaranya ada yang tidak sedemikian. Dan Kami uji mereka dengan (nikmat) yang baik dan (bencana) yang buruk agar mereka (kembali kepada kebenaran)”

Maka janganlah terkejut atau sangsi kerana sudah tentu kita akan sentiasa diuji, hanya bagaimana bentuk dan beratnya ujian itu adalah bergantung kepada diri kita sendirinya menilai dan memikulnya.

Situasi stres yang membawa kepada putus asa biasanya berlaku berkaitan dengan hal-hal duniawi seperti masalah kewangan, gagal dalam hidup, kesihatan dan perasaan. Jarang kita rasa stres apabila gagal melakukan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Masih perlukah untuk berputus asa dan membunuh diri hanya kerana tidak lulus periksa atau takut gagal? Apalah dengan peperiksaan yang hanya menjadi ukuran akademik di dunia.

Buat rugi kerana anugerah kehidupan yang Allah kurniakan sementara jika hanya sekadar hendak dihabiskan dengan berputus asa. Adalah lebih baik penuhi hidup yang singkat ini untuk meraih keberkatan bagi menjamin tempat di syurga.

Ingatlah Allah sebaik-baik tempat mengadu dan yang Maha Mendengar. Adukan segala kesusahan dan kepayahan kita kepada Allah walau sekecil kuman sekalipun dan pasti Allah akan mendengarnya. Hanya bagaimana Allah akan membalas segala aduan dan rintihan itu semuanya bergantung kepada diri kita sendiri.

Secara mudahnya janganlah kita meminta dan mengadu kepada Allah segala kesusahan dengan harapan Allah akan membantu tapi dalam masa yang sama segala suruhan Allah kita ingkar dan maksiat kita lakukan sewenangnya.

Gunakanlah kesempatan hidup yang sementara ini dengan sebaiknya dan hargailah peluang hidup yang Allah kurniakan dengan membuat bekalan sebanyak-banyaknya untuk akhirat nanti. Itu kerana tiada siapa yang tahu bila masanya malaikat Izrail akan datang menyapa. Wallahu a’lam

__________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’