Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bergambar bersama keluarganya sempena sambutan Tahun Baharu Cina, semalam. GAMBAR: Facebook Abdul Hadi

“MASYARAKAT kaum Cina bukanlah asing dalam kehidupan saya.”

Itu kata Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menceritakan bahawa masyarakat Cina amat dekat dengan kehidupannya sejak kecil.

Menerusi hantaran di Facebook sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Abdul Hadi turut berkongsi cerita bahawa datuknya memiliki ramai anak angkat daripada kaum Cina.

Kata beliau, anak angkat datuknya itu menjadi sebahagian daripada keluarga beliau.

Malah, Abdul Hadi berkata, datuknya juga pernah menyelamatkan seorang pelarian Cina bukan Islam sewaktu Perang Dunia Kedua dan disembunyikan di kebun milik datuknya itu.

“Datuk saya memiliki ramai anak angkat daripada kaum Cina, sama ada yang memeluk agama Islam atau pun tidak. Mereka menjadi sebahagian daripada keluarga saya.

“Ketika berlaku Perang Dunia Kedua, terdapat pelarian Cina yang datang ke Pantai Timur.

“Datuk saya pernah menyelamatkan seorang pelarian Cina bukan Islam dan disembunyikan di kebunnya, ketika itu beliau merupakan seorang penghulu kampung,” katanya dalam hantaran tersebut.

Baca artikel berkaitan: Selepas 25 tahun, Anwar hadir ke Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA

Abdul Hadi berkata, beliau bergegas pulang ke Kampung Rusila, Marang semalam selepas menghadiri Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina bersama pimpinan Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan di Kuala Lumpur.

Kata beliau, ia bagi meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarga besarnya.

“Kebetulan pula salah seorang menantu saya sendiri daripada kaum Cina, menunjukkan hubungan keluarga kami dengan masyarakat Cina bukanlah perkara baharu,” katanya.

Abdul Hadi turut berkongsi beberapa keping gambar bersama keluarga besarnya meraikan sambutan Tahun Baharu Cina.

Ahli Parlimen Marang itu juga turut menitipkan pesanan supaya menjadikan perayaan itu untuk mengeratkan lagi silaturahim sesama masyarakat.

“Jadikanlah perayaan ini sebagai salah satu cara untuk kita mengeratkan lagi silaturahim serta perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan kaum di Malaysia,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram