Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, hari ini. GAMBAR: BERNAMA

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas segelintir pihak yang ‘membenarkan’ amalan pemberian wang sewaktu musim pilihan raya sebagai sedekah.

Menurut Perdana Menteri, amalan bersedekah sebagai amal jariah itu boleh diterima namun bukan untuk meraih undi pada pilihan raya.

Kata beliau, sedekah yang dialu-alukan adalah pemberian yang diredai Allah untuk kepentingan dan faedah masyarakat.

“Dulu ‘komisyen’ okay, rasuah tak okay. Sekarang ada pula ‘sedekah’ okay. Ini fahaman yang boleh merugikan negara dan masyarakat.

“Sedekah sebagai amal jariah itu okay, tapi sedekah dapat undi pilihan raya itu rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Baca artikel berkaitan: Terima perbezaan kaum, agama sebagai kekuatan – Anwar

Walaupun tidak menyebutkan nama, namun komen Perdana Menteri itu difahamkan merujuk kepada kenyataan dibuat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa pemberian wang tunai sewaktu kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) oleh orang awam sebagai tidak melanggar peraturan pilihan raya.

Ini kerana, Abdul Hadi mendakwa pemberian itu melibatkan orang awam, bukannya calon atau wakil-wakil calon.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri turut meluahkan keyakinan bahawa Malaysia mampu bangkit sehingga menjadi negara maju dengan syarat menghentikan segala amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Malah, Perdana Menteri turut mengulangi komitmen bahawa beliau tidak lagi bertolak ansur dengan sikap sesetengah pihak menggunakan kontrak atau projek serta mengambil kesempatan mencari kekayaan yang bukan hak mereka.

“Sama ada pimpinan politik atau penjawat awam peringkat tinggi atau pun badan-badan penguatkuasaan, mesti dan wajib hentikan amalan rompakan kekayaan negara.

“Rakyat Malaysia mesti ada keberanian untuk menolak fahaman perkauman dan rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

“Kalau kita berjaya dalam jangka masa singkat, saya yakin kita akan mencatatkan tahap kemajuan yang sangat cemerlang, yang belum pernah kita catat sebelum ini,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram