Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menggaul Yee Sang pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina 2023 anjuran Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, hari ini. GAMBAR:BERNAMA

RAKYAT Malaysia diseru menerima perbezaan kaum dan agama sebagai satu kekuatan dalam menyatukan antara satu sama lain.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persaingan antara kaum atau agama yang sempit hanya menanam bibit-bibit kebencian.

Menurut beliau, konsep masyarakat Madani yang dibawanya menuntut keyakinan setiap rakyat Malaysia, bukan hanya slogan semata-mata.

“Sebab itu saya tekankan semua agama ada kepercayaan mereka tetapi untuk hidup dalam masyarakat mesti faham kemanusiaan.

“Kemanusiaan itu tidak ada makna jika tiada ihsan dan rahmah, kasih sayang antara kita.

“Yang jadikan kita ini warna kulit, kaum dan jantina berbeza itu anugerah Allah SWT. Seseorang itu tidak memilih untuk menjadi Melayu, Cina, India, Kadazan atau Dayak.

“Sebab itu kita harus menerima sebagai satu kekuatan yang boleh menyatukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Malaysia tetap berbangga dengan prestasi Speedy Tigers – PM

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Sementara itu, Anwar turut memuji Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang lebih memberi tumpuan kepada soal pertumbuhan ekonomi dan keadilan sosial.

Kata beliau, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga amat memberi perhatian kepada soal rakyat tidak kira peniaga yang berjaya atau masyarakat yang lebih miskin termasuk miskin bandar dan B40.

Perdana Menteri berkata, pembangunan yang seimbang dan adil kepada semua kumpulan rakyat tidak boleh dilakukan sekiranya ekonomi negara tidak dapat dipacu dengan lebih maju dan berjaya.

“Sebab itu seperti yang saya tekankan, agihan kekayaan perlu seimbang yang mana kita perlu buat sesuatu yang lebih untuk masyarakat golongan rendah dan B40.

“Tidak ada makna pembangunan kalau kita tak boleh pacu pertumbuhan. Ini kejayaan Pulau Pinang sejak lama dahulu,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram