SIAPALAH yang ingin hidup tanpa cinta? Apa lagi harus merelakan hidup tanpa seseorang yang kita cintai, pasti sesuatu yang sangat berat.

Buat anda yang sedang merasakan perasaan itu, single terbaharu Keisya Levronka ini mungkin mampu menjadi jawapannya.

Ya, penyanyi berbakat yang semakin meningkat naik, Keisya kembali dengan sebuah single baharu berjudul Hidup Tanpamu. Single ini sekali lagi dilancarkan di bawah label rakaman Universal Music Indonesia.

Ini menjadi salah satu lagu melankolia dari Keisya. Melalui lagu Hidup Tanpamu, Keisya menceritakan pedihnya menerima kenyataan dan menjalani hidup tanpa adanya orang yang dicintainya selama ini, bahkan berpisah menjadi solusi akhir daripada kenyataan pahit itu.

“Jadi, ceritanya tentang kenyataan yang sedih kerana tidak dapat mempertahankan kisah cinta bersama kerana memang terlalu sulit untuk dilanjutkan.

“Memang susah menerima kenyataan seperti ini, lantas timbul pertanyaan mampukah hidup tanpa dia, apakah rela hidup tanpa cintanya,” ujar Keisya.

Dalam single ini, Keisya yang tidak lama dahulu meraih anugerah dari Anugerah Industri Muzik (AIM) Malaysia, bekerjasama dengan dua pemuzik handalan Indonesia yang diangkat sebagai pencipta lagunya. Mereka adalah Ramadhan Handy, dan Astono Andoko atau yang biasa dikenali sebagai Asta Ran.

Muziknya sendiri masih mengusung warna nuansa pop balada yang manis dengan susunan yang sangat epik nan berirama. Nuansa melankolia sangat mendominasi single Hidup Tanpamu yang menyesuaikan dengan tema kesedihan daripada lagunya.

Suara instrumen piano yang dominan dengan perpaduan kualiti serta karakter vokal Keisya yang sangat dinamik membuat lagu ini semakin indah dan terkesan megah serta sedap untuk didengar.

Selain dilancarkan dalam bentuk audio dan video lirik, single tersebut juga dapat dinikmati dalam bentuk video muzik yang sudah ditayangkan sejak 16 Disember lalu di akaun rasmi YouTube milik Keisya Levronka. Klip itu diarah oleh Bobby Adrian Vitra dan Jessy Sylviani.

“Semoga dapat dinikmati oleh orang ramai. Dan, bagi mereka yang pernah atau sedang melalui cerita lagu itu, moga ia dapat menjadi seperti penguat semangat, dan yakinlah kalau anda tidak sendirian,” ujar Keisya penuh pengharapan.

Jangan lupa dengarkan single Hidup Tanpamu di semua platform muzik digital kegemaran anda. Oh ya, kalau perlu siapkan tisu saat mendengarkannya. Enjoy, guys!