SEORANG lelaki warga asing ditemukan mati dalam keadaan terapung di kawasan bekas lombong Cybersouth, Dengkil, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mayat itu ditemui oleh seorang pemancing pada pukul 2.30 petang.
Beliau berkata, saksi telah melihat satu objek menyerupai manusia terapung di dalam lombong pada jarak 300 meter.
“Saksi kemudian menghampiri objek berkenaan dan mendapati benar ia merupakan seorang manusia sebelum bertindak menghubungi polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, pemeriksaan mendapati mangsa lengkap berpakai baju-T hitam dan seluar jeans hitam serta bertali pinggang.
Mangsa juga dianggarkan berketinggian lebih kurang 180 sentimeter, bertumbuh gempal dan warga asing berikutan tiada tanda suntikan Bacille Calmette Guerin (BCG).
Wan Kamarul Azran berkata, pemeriksaan forensik ke atas mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan disyaki telah meninggal dunia lebih kurang tiga hari lalu berdasarkan keadaan tubuh badan yang telah lebam, mengelembung serta kulit mengelupas.
“Pemeriksaan disekitar kawasan lombong seluas kira-kira 10 ekar tidak menjumpai kenderaan yang digunakan mangsa.
“Kawasan lombong juga tidak berpagar dan boleh diakses secara bebas serta tumpuan orang ramai untuk memancing,” ujarnya.
Tambahnya, Unit Anjing Pengesan (K9) telah membantu siasatan namun gagal menemui sebarang petunjuk berikutan mayat berada didalam air.
“Mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk di bedah siasat,” ujarnya.