Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Abd Razak Aid

KERAJAAN Sweden harus memohon maaf kepada seluruh umat Islam susulan daripada tindakan ahli politik pelampau, Rasmus Paludan membakar al-Quran, baru-baru ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, Sweden sepatutnya sedar bahawa mereka tidak hidup bersendirian di dunia ini malah mempunyai negara sahabat berpenduduk Islam.

Tegasnya lagi, kebebasan bersuara dan hak asasi manusia bukanlah alasan untuk menghalalkan perbuatan ini kerana ia jelas bertentangan dengan nilai mana-mana agama sekali pun.

“Tindakan ini telah mengguris serta membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

“Kerajaan Sweden harus memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan bukan hanya menzahirkan rasa simpati melalui media sosial.

“Kebebasan bersuara seharusnya dilaksanakan dengan cara yang bertanggungjawab melalui dialog dan toleransi,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Paludan iaitu pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, membangkitkan kemarahan dunia Islam apabila membakar al-Quran ketika menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Susulan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia Paludan, sekali gus menggesa kerajaan Sweden mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.

Malaysia mengecam jenayah kebencian berulang kali yang menyasarkan umat Islam di seluruh dunia, juga mahu kerajaan Sweden memastikan langkah drastik diambil pada masa depan dalam menangani peningkatan membimbangkan Islamofobia di negara itu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram