PERNAHKAH anda mendengar penyakit ‘anorexia nervosa’? Penderitanya kelihatan amat kurus kering, hanya kulit membaluti tulang. Ia disebabkan penghidapnya terlalu takut menjadi gemuk sehingga tidak mahu makan atau memuntahkan semula makanan yang dimakan.

Ramai penghidap penyakit ini bukan saja kehilangan berat badan, malah mengakibatkan kematian. Tubuh tidak mendapat zat yang diperlukan dan kelihatan seperti tengkorak hidup.

Menurut kajian, majoriti penghidap penyakit ini terdiri di kalangan remaja berusia 16 tahun ke atas. Dianggarkan juga, setiap 100 orang yang menghidapi penyakit ini, 15 orang daripadanya akan meninggal dunia, 35 orang tidak sembuh sepenuhnya dan 50 orang lagi kembali normal.

Namun, tidak semua mereka yang mempunyai badan seperti tengkorak hidup ini disebabkan diet yang berlebihan dan takut gemuk. Sejak zaman dahulu, penyakit seperti ini sudah wujud bahkan, ada yang menjadi terkenal disebabkan tubuh badan kering seperti itu.

Di London pada sekitar abad ke-17 misalnya, mereka yang mempunyai bentuk badan yang kurus seperti tengkorak menjadi selebriti terkenal apabila dibayar untuk tampil di khalayak ramai melalui persembahan The Freak Show.

Persembahan sebegitu ketika itu amat terkenal di sekitar England dengan menjadikan manusia-manusia yang mempunyai bentuk fizikal dan kebolehan luar biasa sebagai objek tontonan ramai.

J.W Coffey, antara lelaki kurus yang dikenali zaman dahulu.

Antara manusia kurus yang paling terkenal ketika itu ialah seorang lelaki bernama J.W Coffey. Lelaki ini digelar sebagai ‘Raja Manusia Tengkorak’. Biarpun badannya kurus kering, peliknya Coffey mempunyai selera makan yang kuat berbanding dengan mana-mana lelaki normal yang lain. Malah, lelaki ini juga mempunyai tahap kesihatan yang baik biarpun tubuhnya seolah-olah hanya dibaluti oleh kulit sahaja tanpa isi.

Begitu juga dengan seorang lelaki kelahiran Perancis bernama Claude Ambroise Seurat. Pada usia 27 tahun, lelaki ini telah berhijrah ke England dan menjadi terkenal kerana bentuk tubuhnya yang amat kurus dengan berat tidak sampai 20 kilogram.

Bayangkan, ukuran dada Seurat dengan tulang belakangnya hanya selebar kira-kira lapan sentimeter sahaja! Malah, tulang rangka Seurat begitu jelas membonjol seolah-olah melekat pada kulitnya yang nipis, sehinggakan degupan jantung di dadanya juga boleh kelihatan.

Biarpun Seurat kelihatan lemah tidak berdaya kerana terlalu kurus, namun dia hidup dalam keadaan sihat. Tidurnya tidak terganggu dan menurut doktor yang merawat Seurat, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan mengenai kesihatan lelaki itu. Seurat juga tidak perlu menggemukkan dirinya untuk menjadi lebih sihat.

Claude Seurat, antara lelaki kurus namun hidup sihat.

Seorang lagi manusia tengkorak yang terkenal pada zaman tersebut bernama Hopkin Hopkins. Berat Hopkin tidak pernah menghampiri 15 kilogram sepanjang hidupnya. Dia juga menjadi terkenal ketika pengikuti persembahan The Freak Show di sekitar England. Hopkins meninggal dunia ketika berumur 17 tahun pada tahun 1754.

Lucia Zarate juga merupakan salah seorang individu yang paling ringan di dunia. Ketika dilahirkan pada 2 Januari 1863 di San Carlo, Mexico, berat Lucia hanyalah 1.36 kilogram sahaja. Ketika mencecah usia 17 tahun, berat Lucia cuma 5.89 kilogram dan ketika meninggal pada Oktober 1889 pada usia 26 tahun, berat badan wanita itu masih lagi tidak berubah.

Lucia Zarate, antara individu paling ringan.

Edward C. Hagner yang digelar sebagai The Ossified Man (manusia keras seperti tulang) adalah antara manusia tengkorak yang paling terkenal pada zaman tersebut. Lelaki yang dilahirkan di Amerika Syarikat pada tahun 1892 ini mempunyai ketinggian 1.7 meter tetapi beratnya pula hanya sekitar 22 kilogram.

Begitu juga dengan Emma Shaller. Wanita yang dilahirkan di St. Louis, Missouri pada 8 Julai 1868 ini hanya mempunyai berat tidak sampai 20 kilorgram. Dan meninggal dunia dalam usia muda iaitu 22 tahun.

Mereka yang mempunyai tubuh kering pada zaman dahulu diibaratkan ‘selebriti’ dan akan mengikuti persembahan untuk dipertontonkan kepada umum.

______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare