Gambar hiasan

Polis telah mengenal pasti identiti mayat seorang wanita yang ditemukan di dalam semak di tepi jalan Kampung Alor Gali menghala ke Wakaf Tapai di Marang, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris dalam kenyataan hari ini berkata identiti wanita itu, Zarina Mukhtar, 57, disahkan berpandukan kepada padanan rekod cap jari yang tersimpan di Jabatan Pendaftaran Negara.

Beliau berkata pihaknya ada melakukan tangkapan berkaitan kes itu dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Marang esok untuk permohonan reman.

Pada petang Khamis lepas, mayat Zarina ditemukan oleh orang awam yang sedang mencari daun palas dalam keadaan lengkap berpakaian.

Mohd Zain sebelum ini dilaporkan berkata tiada sebarang kesan pergelutan atau tompokan darah dijumpai di lokasi itu dan pemeriksaan pasukan forensik mendapati tiada sebarang kesan tikaman, tetakan atau kelar pada mayat.

Malah katanya, barang kemas seperti cincin dan rantai leher dipercayai emas masih berada di leher dan tangan mangsa.

 — BERNAMA

Wednesday, 25 January 2023