Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

PIHAK media perlu diberi ruang untuk memainkan peranan sebagai pihak yang membantu ‘semak dan imbang’ serta mengetengahkan isu berkaitan kelemahan tadbir urus,” kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata agensi media milik kerajaan dan swasta turut diingatkan supaya berkhidmat demi kepentingan rakyat dan bukan untuk memenuhi agenda tersembunyi atau kepentingan peribadi.

“Asalkan inisiatifnya jelas, jenis laporan, aktiviti kewartawanan, jika itu cara berkhidmat untuk rakyat, ia akan memberi faedah kepada negara.

“Apabila media mula bertindak bagi pihak lain, individu atau atas kepentingan, kami perlu menilai mereka untuk memastikan ia tidak bercanggah dengan prinsip tadbir urus yang baik,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.

Ketika ditanya mengenai dakwaan beberapa pihak bahawa kerajaan kini cuba menyekat kebebasan media, beliau berkata: “Tidak, kami bukan cuba untuk menyekat kebebasan media, kami cuba untuk menghentikan fitnah. Rasuah adalah rasuah, walaupun anda mengatakan ia sedekah.”

Fahmi berkata kementerian sedang bekerjasama erat dengan penyedia perkhidmatan media sosial dan mereka dimaklumkan mengenai undang-undang dan budaya Malaysia yang perlu mereka akui dan beroperasi dalam ruang lingkupnya.

Baca artikel berkaitan: Penambahbaikan akses internet cetus ‘lonjakan kuantum’ ekonomi digital – Fahmi

Beliau berkata kebanyakan platform media dilengkapi program kecerdasan buatan untuk menyaring dan mengasingkan bahan yang bercanggah dengan garis panduan komuniti platform itu, seperti yang dilihat di negara lain iaitu pengguna menyalah guna ciri strim langsung beberapa aplikasi untuk menayangkan pembunuhan secara langsung dan selepas itu platform tersebut menemukan cara automatik untuk membendungnya.

“Kami tiada niat untuk menghentikan operasi atau membendung penggunaan (media sosial) tetapi sesiapa yang melanggar undang-undang, tindakan penguatkuasaan akan diambil serta-merta.

“Contohnya anda menulis atau memuat naik sesuatu yang bercanggah dengan garis panduan komuniti aplikasi itu. Garis panduan komuniti adalah cara aplikasi ini melaksanakan kebebasan bersuara dengan mematuhi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kementerian untuk menangani isu kandungan berkaitan 3R – race (bangsa), religion (agama) dan royalty (raja) – yang dimuat naik pengguna di media sosial.

Ditanya mengenai cadangan supaya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dimansuhkan, beliau berkata ia bukan keutamaan buat masa ini, namun undang-undang itu tidak harus disalah guna.

Fahmi berkata Kementerian Komunikasi dan Digital dijangka mengumumkan berita baik buat media cetak dan pengguna berita Mei ini, sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA).

HAWANA yang disambut pada 29 Mei setiap tahun merupakan pengiktirafan dan penghargaan kerajaan atas sumbangan pengamal media dalam membantu membangunkan negara dan mengukuhkan perpaduan rakyat.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram