Tun Dr Mahathir Mohamad GAMBAR: Abd Razak Aid

PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada November lalu didakwa merupakan pilihan raya paling korup sepanjang sejarah ia diadakan di negara ini.

Perkara itu didakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam hantaran di media sosial.

Malah, Dr Mahathir turut mendakwa setiap calon yang memenangi PRU-15 adalah disebabkan amalan rasuah yang diberikan kepada pengundi.

Menurut Dr Mahathir, rasuah diberikan secara terbuka dan ramai yang menerimanya sejurus sebelum pergi mengundi.

Katanya, terdapat ramai individu yang melihat wang itu diserahkan kerana tiada halangan ketika wang tersebut diberikan.

“Merasuah pengundi sudah menjadi kebiasaan, pengundi mengharapkannya manakala pegawai parti menganggapnya sebagai tugas mereka dan melihat rasuah itu sebahagian daripada proses pemilihan.

“Jelas sekali bahawa sejumlah besar wang telah diperuntukkan untuk mempromosikan calon dan parti Adalah lumrah di Malaysia apabila bandar, kampung dan luar bandar dipenuhi dengan berjuta-juta bendera, gegantung, poster dan papan tanda.

“Ia tidak murah. Bendera berharga sekurang-kurangnya RM3 setiap satu. Batang buluh dan kerja memasangnya akan menelan belanja RM3 lagi.

“Setiap bendera yang dipasang berharga RM6 dan terdapat puluhan ribu di setiap kawasan pilihan raya. Pasti ada berjuta-juta di seluruh negara. Sejuta akan menelan belanja RM6 juta. 10 juta akan menelan belanja RM60 juta. Terdapat 222 Parlimen dan beribu-ribu pekerja serta ‘sukarelawan’ parti yang dibayar,” katanya dalam hantaran tersebut.

Baca artikel berkaitan: Anwar tidak mahu polemik permusuhan dengan Tun Mahathir berterusan

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi mendakwa setiap parti yang bertanding dalam pilihan raya mungkin membelanjakan lebih daripada RM100 juta.

Dalam pilihan raya, kata beliau, sekiranya calon atau parti terlibat dengan perbelanjaan mewah, penyiasatan tentang sumber dana harus dijalankan.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat parti-parti yang mempunyai sumber dana besar yang didakwa dibelanjakan untuk merasuah pengundi dan berkempen.

Katanya, terdapat keperluan untuk mengehadkan jumlah yang boleh dibelanjakan sesuatu parti kerana ketika ini tiada had terhadap perbelanjaan tersebut.

“Sumber dana mesti dijelaskan. Kegagalan berbuat demikian akan memerlukan penyiasatan yang meluas.

“Jika didapati wang itu datang daripada sumber haram, calon atau parti perlu didakwa.

“Pada PRU-15, boleh dikatakan dengan jujur bahawa hampir setiap calon yang menang kerana telah menawarkan ‘rasuah’ dan partinya telah membelanjakan ratusan juta untuk berkempen,” dakwanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram