BARISAN artis terkemuka tanah air dan antarabangsa seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M. Nasir, Salammusik, Raihan ft Alif Satar & The Locos, Faizal Tahir, Sabyan dan Opick bakal memeriahkan Konsert Malam Bulan Bintang.

Konsert bertemakan muzik Islamik kontemporari itu bakal diadakan di Axiata Arena Bukit Jalil bermula jam 8 malam pada 4 Mac depan.

Biarkan konsert tersebut ‘bertembung’ dengan Blackpink World Tour yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hari dan waktu yang sama, pengasas Bulan Bintang iaitu Azzim Zahid Azmi tetap optimis.

“Setiap tahun kami akan adakan sesuatu yang besar. Seperti contoh, tahun lepas kami muncul di papan iklan digital yang terpampang di persimpangan Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan ia menjadi bualan ramai.

“Tahun ini, kami mahu melakukan sesuatu yang dan berbeza. Jadi, timbul idea Malam Bulan Bintang menampilkan barisan artis popular tempatan dan antarabangsa.

“Kami pernah mempunyai pengalaman mengendalikan dua konsert menerusi jenama Hausboom Music sebelum ini.

“Tahun lalu, konsert yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang itu dihadiri oleh 13,000 pengunjung dan mendapat sambutan hangat. Jadi, untuk mengadakan konsert di Axiata Arena adalah satu cabaran yang perlu Bulan Bintang sahut.

“Kami mahu melakukan sebaik mungkin. Ia sangat mencabar tetapi bukan perkara yang kami perlu takutkan,” katanya.

Tambah Azzim, Malam Bulan Bintang bakal membawakan muzik Islamik kontemporari yang diiringi oleh band orkestra terkemuka ke halwa telinga penonton.

AZZIM menjanjikan sebuah konsert Islamik Kontemporari dengan barisan penyanyi terkenal tanah air dan antarabangsa pada 4 Mac depan

“Konsert ini menyasarkan audiens yang mempunyai gaya hidup moden dan urban, berumur sekitar 25 hingga 40 tahun. Malam Bulan Bintang akan dimeriahkan lagi dengan tempat duduk yang bersudut 360 darjah serta sistem bunyi 360 darjah.

“Ia bertujuan untuk memberikan penonton pengalaman bunyi yang berkualiti tinggi dan mengasyikkan. Sesi perkongsian Ramadan daripada penceramah undangan juga akan turut diselitkan di antara persembahan artis,” ujarnya.

Malam Bulan Bintang juga menjanjikan persembahan antarabangsa dan tempatan bertaraf dunia yang turut dimeriahkan dengan ensembel muzik orkestra yang diketuai oleh Chaan.

Tiket boleh dibeli secara online di www.ticket2u.com.my dan harga tiket jualan bermula dari Early Bird (Silver): RM49, Silver: RM99, Gold: RM119, Platinum: RM149 dan VVIP: RM199

Ikuti @malambulanbintang dan @bulanbintanghq di semua platform media sosial untuk melihat perkembangan terkini mengenai konsert ini.