MUNGKIN selama ini sebahagian daripada kita tidak pernah terfikir bahawa mati bagai hidup semula dan dari susah menjadi senang itu adalah peluang kedua yang Allah berikan pada kita untuk memperbaiki diri untuk menjadi insan yang bertaqwa kepada Allah.

Sesungguhnya di dalam kehidupan ini, Allah sentiasa menguji hamba-Nya dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

Seperti Firman Allah, Ujian ini pula diberi dalam dua bentuk iaitu

1. Bentuk yang susah

2. Kesenangan (seperti dalam surah Al- Mulk: ayat 2)

Dia lah Yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu Yang lebih baik amalnya; dan ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang Yang bertaubat); Surah Al –Mulk : ayat 2

“Maksud ayat di atas Allah berfirman, hidup dan mati kita tetap akan diuji. Allah ingin melihat sejauh mana seseorang insan itu mampu mengharungi cabaran dan ujian yang diberikan. Mereka yang baik amalannya akan banyak bersabar dan reda dengan segala ujian yang Allah berikan.’’ Kata Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud.

Ustaz Zarifi menambah, peluang kedua yang Allah berikan kepada seseorang itu membuktikan rahmat dan kasih sayang Allah pada segenap lapisan manusia yang hidup di muka bumi ini. Peluang ini juga diberi agar kita segera bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

“Pada zaman dulu para Nabi juga diuji walaupun mereka itu, pesuruh Allah dan mereka yang telah dipilih oleh Allah. Jika mereka diuji, apatah lagi kita manusia biasa,’’ ujarnya.

Apa yang penting apabila kita menerima ujian ini hendaklah dihadapi dengan cara yang tidak bertentangan dengan agama. Kita kena bersabar dan sentiasa memohon doa kepada Allah agar menyelesaikan segala masalah yang dihadapi.

“Kita harus percaya bahawa Allah pasti akan memperkenankan segala doa dan menerima semua permintaan hamba-Nya. Tapi manusia mempunyai lain cara, apabila berdepan dengan masalah, mereka tidak meminta pertolongan Allah sebaliknya mencari bomoh ataupun pawang yang akan merosakkan iman mereka,’’ jelasnya lagi.

Ustaz Mohamad Zafiri juga menyentuh tentang sepotong ayat Surah Al-Baqarah ayat 214 yang berbunyi:

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?’’ ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kami bersabar dan berpegang teguh kepada  agama Allah). Surah Al-Baqarah : ayat 214

Ustaz Zarifi menekankan bahawa jika difahamkan betul-betul, ayat di atas boleh dijadikan sebagai motivasi daripada ujian-ujian yang Allah berikan kepada kita.

“Maksud ayat di atas adalah bukan mudah untuk masuk ke syurga kerana ia satu tempat yang mahal harganya. Seseorang itu harus melalui pelbagai ujian atau saringan sebelum berjaya masuk ke dalamnya.

“Mereka juga perlu menyifatkan ujian itu sebagai tanda Allah sayangkan mereka dan ingin memberi mereka syurga. Jika mereka terus berpegang pada ayat tersebut seseorang itu tidak mudah hilang pedoman, kecewa, stres dan melakukan perkara yang tidak baik,’’ pesannya .

Katanya lagi, peluang kedua juga adalah peluang untuk kita kembali semula kepada Allah. Jika diamati dalam surah Al Fatihah : ayar 3, Ar Rahman Nir Rahim yang bermaksud sifat Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Kata Ustaz Zarifi, ” Sepatutnya jika diberi peluang kedua, jangan lepaskan peluang tersebut untuk semakin dekat kepada Allah. Jika dulu seseorang itu jarang mengucapkan syukur jika diberi peluang ini keraplah bersyukur kepada Allah.

“Jika sebelum ini susah hendak membantu orang susah, jika diberi peluang kedua gunakan peluang ini sebaik-baik mungkin untuk berbuat baik kepada orang lain sebagai tanda kita bersyukur dan berterima kasih kepada Allah kerana diberikan peluang ini.

“Begitu juga dengan tragedi yang pernah menimpa kita. Jadikan ianya satu panduan hidup untuk membuka langkah bagi kita menjadi insan yang lebih baik,’’ pesannya.

Beliau turut menekankan bahawa jika seseorang itu telah diuji tetapi perangainya masih seperti yang dulu maka rugilah baginya. Orang seperti itu umpama menolak syurga yang Allah berikan kepadanya kerana tidak mahu mengambil iktibar atas perkara-perkara yang telah berlaku.

Contohnya, jika pernah mengalami beberapa keguguran ketika mengandung seseorang itu sepatutnya reda dengan apa yang telah Allah berikan. Jangan menyalahkan takdir.

“Sangat besar pahala kebajikan yang bakal diperoleh oleh seseorang yang reda dengan segala ujian yang Allah berikan kepadanya sebab kehidupan kita ini tidak boleh lari dari qada dan qadar.

“Itulah sebenarnya Iman. Itulah tandanya kita sebagai hamba-Nya tidak punya kuasa sebaliknya yang Maha Berkuasa adalah Allah SWT,’’ tambah Ustaz Zarifi lagi.