Salah sebuah keluarga etnik Rohingya yang menetap di sekitar Jalan Pulau Senang 3, Semabok, Melaka. GAMBAR: Abd Razak Aid

MUKADIMAH: Kebanjiran etnik Rohingya di Malaysia sering menjadi perdebatan umum – ada yang menentang, ada juga yang menzahirkan rasa simpati dengan nasib dialami etnik tersebut. Namun, tingkah laku etnik Rohingya dikatakan semakin menjadi bebanan kepada negara. Ikuti pendedahan siri pertama oleh wartawan, AFIQ MOHD SHAH, IZZAT NASURUDEN; jurugambar, ABD RAZAK AID dan juruvideo, AIZZAT JAILANI berhubung etnik Rohingya yang dikatakan semakin ‘bermaharajalela’ di Melaka.

SEJAK sekian lama, Malaysia telah menjadi ‘negara transit’ bagi pelarian dan pemohon suaka mencari perlindungan sementara sebelum ditempatkan di negara ketiga.

Atas dasar kemanusiaan, kerajaan telah membenarkan pelarian yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tinggal sementara di negara ini.

Berdasarkan data UNHCR, seramai 182,990 pelarian dan pencari suaka berdaftar berada di Malaysia sehingga November 2022.

Kelihatan golongan remaja etnik Rohingya menunggang motosikal tanpa lesen ketika tinjauan UtusanTV di sekitar Jalan Pulau Senang 3, Semabok, Melaka. GAMBAR: Abd Razak Aid

Daripada jumlah tersebut, seramai 48,500 adalah kanak-kanak di bawah usia 18 tahun manakala lebih 100,000 daripadanya merupakan etnik Rohingya.

Berbeza dengan pendatang asing tanpa izin (PATI), pemegang kad UNCHR tidak menjadi buruan pihak berkuasa kerana dilindungi Konvensyen Geneva Berkaitan Status Pelarian 1951.

Namun, seperti juga PATI, kehadiran pemegang kad UNCHR terutama etnik Rohingya ini semakin mencetuskan kebimbangan rakyat Malaysia.

Perbezaan budaya jelas kelihatan apabila kehadiran mereka sering dikaitkan dengan ancaman terhadap keselamatan, kesihatan dan kebersihan masyarakat tempatan.

Sikap mereka yang semakin ‘besar kepala’ membuatkan ramai berasa kurang selesa dengan kehadiran golongan berkenaan.

Pelbagai isu sosial terutama pengemis kanak-kanak bertindak biadab, pecah rumah dan beberapa lagi kes jenayah termasuk gaduh dan bunuh dikaitkan dengan golongan itu sering dilaporkan di dada akhbar.

Salah sebuah rumah etnik Rohingya yang dijadikan stor untuk mengumpul sisa besi buruk hingga menyebabkan kawasan perumahan kotor dan busuk ketika tinjauan UtusanTV di sekitar Jalan Pulau Senang 3, Semabok, Melaka. GAMBAR: Abd Razak Aid

Baca artikel berkaitan: Pecah rumah: 4 warga Rohingya termasuk remaja perempuan 14 tahun ditahan

Negara juga pernah dikejutkan tahun lalu dengan insiden 528 tahanan etnik Rohingya di Depot Imigresen Relau, Kedah bertindak merusuh dan melarikan diri dengan enam daripada mereka maut selepas dirempuh kenderaan.

Terbaharu, seorang buruh etnik Rohingya ditahan selepas disyaki mencabul seorang kanak-kanak perempuan yang juga jirannya di Semabok, Melaka.

Difahamkan, di Melaka sahaja terdapat lebih 2,000 pelarian etnik Rohingya yang memegang kad UNCHR.

Tinjauan UtusanTV di Jalan Pulau Senang 3, Semabok dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong di Melaka mendapati golongan tersebut menjadikan kawasan itu sebagai ‘perkampungan’ kecil untuk mereka bertapak.

Deretan rumah yang dijadikan ‘port’ keluarga etnik Rohingya di Jalan Pulau Senang 3, Semabok, Melaka. GAMBAR: Abd Razak Aid

Ia juga menjadi antara penempatan utama etnik berkenaan di Melaka dengan difahamkan hampir 200 etnik itu termasuk kanak-kanak membabitkan kira-kira 30 keluarga berada di kawasan itu.

Kawasan itu juga difahamkan menjadi ‘port’ etnik itu berkumpul termasuk dari kawasan lain sehingga mengganggu ketenteraman awam apabila sering mabuk dan bergaduh sesama sendiri.

Sebelum ini, sumber memaklumkan etnik Rohingya di kawasan itu turut membuka kedai runcit tanpa lesen di samping menyewa sebuah rumah untuk dijadikan surau.

Kebanyakan penduduk di kawasan itu dikatakan bekerja sebagai pemotong rumput, buruh kontrak dan mencari besi buruk.

Ada dalam kalangan warga tempatan dipercayai menyewakan kenderaan mereka kepada etnik Rohingya yang tidak mempunyai lesen ketika tinjauan UtusanTV di sekitar Jalan Pulau Senang 3, Semabok, Melaka. GAMBAR: Abd Razak Aid

Namun, masalah berlaku apabila sisa besi buruk atau barangan terpakai dibiarkan berlonggok tanpa menghiraukan kebersihan kawasan sekitar.

Malah, ada juga yang mempunyai lori sendiri dan menggajikan warga tempatan sebagai pemandu untuk menjalankan kegiatan harian mereka.

Lebih membimbangkan, ada dalam kalangan warga tempatan sanggup ‘menyewakan’ kenderaan mereka kepada etnik Rohingya yang tidak mempunyai lesen semata-mata mahu duit tambahan tanpa memikirkan risiko sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

Peningkatan jumlah etnik Rohingya di kawasan itu yang semakin hari semakin meningkat menyebabkan penduduk tempatan berasa kurang selesa dan bimbang dengan keselamatan terutama anak-anak kecil.

Etnik Rohingya yang menetap di sekitar Jalan Pulau Senang 3, Semabok, Melaka. GAMBAR: Abd Razak Aid

Ikuti siri kedua mengenai isu ini di UtusanTV esok.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram