Datuk Mohd Ridzuan Abdullah, 54, menghadapi 12 pertuduhan melakukan tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya 2.0 ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

TIGA termasuk seorang calon Pilihan Raya Umum ke-15 didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas 50 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ia bagi menuntut insentif di bawah program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM2.4 juta.

Pemilik syarikat, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah, 55, mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan mengemukakan dokumen palsu membabitkan tuntutan Program Penjana Perkeso bernilai RM378,000.

Ridzuan yang juga merupakan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bagi Parlimen Kuala Langat PRU-15 lalu didakwa mengemukakan dokumen palsu berkaitan gaji sedangkan senarai pekerja yang dinamakan di dalam dokumen berkenaan tidak menerimanya.

Hakim Rozina Ayob membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin serta syarat menyerahkan pasport kepada mahkamah selain disenarai hitam untuk ke luar negara.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh untuk melaporkan diri ke pejabat SPRM berdekatan pada minggu pertama setiap bulan, dan menetapkan 3 Mac ini bagi pengurusan kes.

Dalam kamar sama, seorang pemilik syarikat, Lee Hong Rong, 24, mengaku tidak bersalah atas 31 pertuduhan membabitkan nilai RM1.87 juta selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Rozina.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai pemilik sebuah syarikat memberikan suatu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama syarikat itu, bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 Perkeso Kerjaya.

Lee Hong Rong mengaku tidak bersalah terhadap 31 pertuduhan melakukan tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya 2.0 selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Dokumen itu diberikan kepada ejen Perkeso dengan niat hendak memperdayakan untuk mempercayai dokumen tersebut mengandungi pernyataan bantuan mobiliti dan gaji tulen sedangkan senarai pekerja yang dinamakan dalam dokumen tersebut tidak menerima bayaran bantuan mobiliti dan gaji sepenuhnya.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin manakala tertuduh diwakili peguam, Lim Chi Chau.

Hakim Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin dan menyerahkan pasport serta melaporkan diri di pejabat SPRM yang berdekatan, setiap bulan selain menetapkan 2 Mac depan bagi pengurusan kes.

Dalam kamar berasingan di hadapan Hakim Suzana Hussin, seorang lagi pemilik syarikat, Raymond Sim, 35, mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu bernilai RM79,500.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh pada tahun 2021 memberikan suatu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja dengan niat hendak memperdayakan prinsipalnya iaitu Perkeso dengan mengemukakan pernyataan gaji palsu.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Raymond Sim menghadapi tujuh pertuduhan melakukan tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya 2.0 ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Hakim Suzana menetapkan wang jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dengan syarat perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan.

Mahkamah menetapkan 28 Februari ini bagi sebutan semula kes.