MEMBUKA lembaran kerjaya tahun ini, Dolla terus menjadi rebutan beraksi di pentas membabitkan artis antarabangsa.
Istimewanya, esok, Dolla bakal memeriahkan Seen Festival in Kuala Lumpur 2023 bersama bintang sensasi K-Pop iaitu NCT DREAM, WayV, KARD dan ALICE.
Dianjurkan CM Live, konsert bermula jam 6 petang di Arena Axiata, Bukit Jalil itu sememangnya dinanti-nanti peminat gelombang K-Pop tempatan.
Sekali gus, ia bakal menjadi platform terbaik buat Dolla meraih pengikut baharu serta menunjukkan bakat luar biasa sebagai penghibur.
Dolla yang dianggotai Sabronzo, Syasya, Angel dan Tabby semestinya sangat berbesar hati dan sudah tidak sabar menghiburkan semua yang hadir pada acara itu nanti. Menurut mereka, ia satu peluang keemasan yang cukup dinantikan.
“Kami merasa sangat bangga apabila dibariskan dengan penghibur hebat dari Korea Selatan. Dapat berkongsi satu pentas dengan nama-nama handalan itu adalah impian yang sangat kami idam-idamkan sejak ceburi bidang muzik.
“Peluang ini amat bermakna secara peribadi buat kami sebagai artis yang masih merangkak mengukuhkan nama.
“Ia satu pengiktirafan terbesar untuk karier kami apa lagi memang cita-cita Dolla ingin tembusi pasaran antarabangsa lagi,” kata mereka.
Kumpulan yang terkenal dengan lagu-lagu hit termasuk Watch Me Glow, Impikan, BAD, dan Berani itu berjanji bakal menampilkan persembahan jauh lebih bertenaga. Ini kerana, mereka harus membukitkan jika penghibur tempatan juga berbisa.
“Kami mahu pamerkan corak persembahan yang setara dengan kualiti antarabangsa sebagaimana artis K-Pop.
“Kami juga ingin mengintai peluang untuk saling berkenalan dengan bintang Korea yang ada nanti demi luaskan jaringan,” kata mereka.
Hampir tiga tahun ditubuhkan, pelbagai pencapaian sudah diraih Dolla dan profil karier mereka sangat membanggakan.
Kesungguhan empat gadis itu mempamerkan mutu penghibur bertaraf dunia sentiasa menjadi pujian.
Jika tiada aral, mereka berhasrat mahu melancarkan lima single baharu sepanjang tahun ini dan pemilihan lagu sesuai juga sedang dibuat.
Sementara itu, Seen Festival in Kuala Lumpur 2023 akan menampilkan pentas berbentuk T.
Ia bagi memudahkan peminat mendekati idola mereka selain merasai detik yang menggembirakan apabila dapat bertentang mata dengan artis pujaan mereka itu.