PENYANYI, penerbit dan komposer lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun muncul dengan single terbaharu berjudul Inni Tawakkaltu. Lagu tersebut bakal keluar secara serentak di semua platform penstriman termasuk video muzik.
Hafiz menggunakan khidmat penulis lirik lagu-lagu nasyid terkenal iaitu Ito Lara yang dikenali dengan lirik-lirik nasyid yang puitis seperti Kasih Kekasih dan Nur Kasih nyanyian Inteam, Tangis Sebatang Tamar nyanyian Dakmie, Ainul Mardhiah nyanyian UNIC dan ratusan lirik malar segar ciptaannya.
“Saya mengenali Ito Lara bukan hanya sebagai penulis lirik, malahan kami seperti keluarga rapat kerana saya membesar dengan lirik-lirik nasyid ciptaannya.
“Semasa saya bersama kumpulan UNIC satu masa dulu, Ito Lara banyak menyumbangkan karya untuk UNIC.
“Lebih 20 tahun kami sudah kenal dan bekerjasama. Kali ini, saya mempelawa Ito untuk menulis satu lagi karya yang sesuai untuk saya,” ujar Hafiz.

Dalam penghasilan Inni Tawakkaltu, Hafiz juga telah menggunakan khidmat para pemuzik tempatan dan antarabangsa di dalam garapan gubahan muzik termasuk iringan orkestra dari Istanbul, Turkiye.
Proses adunan dan ‘mastering’ single ini juga mendapat sentuhan jurutera muzik antarabangsa iaitu Greg Henderson dan Don Bartley dari Australia.
“Inilah kepuasan saya apabila berkarya. Saya berbelanja untuk dapatkan hasil yang terbaik.
“Bukan hanya menggunakan para pemuzik professional dari luar negara, saya juga tetap yakin dan percaya dengan bakat para pemuzik tempatan,” jelasnya.

Di samping menggunakan khidmat para pemuzik dan jurutera terbaik dari dalam dan luar negara, Hafiz juga bekerjasama bersama rakan lama untuk penghasilan muzik video (MV) Inni Tawakkaltu.
“Setelah siap proses ‘mastering’ lagu ini, saya kembali menghubungi kawan saya, Rifaiee untuk menjadi pengarah kepada video muzik Inni Tawakkaltu. Walaupun terdapat faktor kekangan masa, pengambaran (MV) ini telah berjalan lancar.
“Sebenarnya 12 tahun lalu, Rifaiee dan kru dari RIO Production jugalah yang merakamkan video zikir daripada album Zikir Terapi Diri saya.
“Semenjak itu, kami telah bekerjasama untuk banyak produksi, baik di Malaysia mahupun di luar negara.
“Kini saya bangga dengan pencapaian Rifaiee dan RIO Production kerana sering menjadi pilihan syarikat rakaman untuk merakamkan video muzik artis-artis tempatan seperti Haqiem Rusli, Wany Hasrita, IamNeeta dan ramai lagi,” katanya.
Menurut Hafiz, Inni Tawakkaltu dihasilkan bukan hanya untuk dirinya, tetapi untuk semua.
“Saya pernah jatuh, merangkak dan bangun kembali. Saya rasa, semua orang pernah alami situasi ini.
“Kesedihan dan kesusahan yang kita alami tidak selalunya difahami oleh semua orang. Jadi, saya harap Inni Tawakkaltu boleh menjadi penguat semangat untuk semua supaya terus berusaha dan akhirnya berserah dan tawakkal kepada Allah,” ungkapnya.
Single Inni Tawakkaltu boleh ditonton di YouTube Hafiz Hamidun dan didengarkan di semua platfrom penstriman muzik mulai 27 Januari.
“Tahun 2023 memberikan sinar yang lebih cerah dan indah. Kehidupan saya semakin bahagia dengan adanya keluarga, kawan-kawan dan mereka yang sentiasa menyokong kerjaya dan kehidupan peribadi saya.
“Pada usia yang menjengah 39 pada tahun ini, saya tidak obses kepada populariti dan dunia glamor.
“Saya pernah merasainya namun Alhamdulillah saya tetap bersyukur. Apa yang saya inginkan sekarang ialah ketenangan dan perkara-perkara yang tidak merumitkan fikiran.
“Saya lebih senang menghabiskan masa bersama keluarga terutamanya bersama anak saya Hamdee. Saya kini lebih fokus untuk perkara-perkara yang santai, tidak seperti 20 tahun dahulu, ketika mula-mula menjadi artis rakaman,” jelasnya.
Lebih istimewa, Hafiz kini berada di Arab Saudi saat lagu ini dilancarkan di platform digital kerana menunaikan Umrah.
Single Inni Tawakkaltu diterbitkan oleh Arteffects Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia Sdn. Bhd.