Terbitan WANITA. Februari 2012

Bagaikan baru semalam ia berlaku, kini ia menjadi pengalaman yang tidak akan terluput sepanjang hidup.

Jika Allah tidak panjangkan hayatnya, Mohammad Faizul Azam Mohammad tidak akan berada di hadapan mata penulis hari ini berkongsi cerita buat tatapan pembaca WANITA.

Ada di antara kawan-kawannya yang tahu akan pengalaman ngerinya itu seakan tidak percaya Faizul masih boleh hidup. Melihat gambar yang sempat dirakam sewaktu ususnya terburai dari dalam perut seolah-olah nyawa Faizul tidak akan dapat diselamatkan lagi.

Walaupun dinasihatkan doktor untuk tidak terlalu aktif tetapi selagi bergelar lelaki, mana mungkin Faizul tahu duduk diam. Ada sahaja perkara yang ingin dilakukan biarpun pergerakannya agak terbatas.

Padang futsal tetap dilawati dan dia tidak boleh duduk diam sekadar memerhati sahaja bola futsal ditendang rakan-rakan. Faizul meneruskan niatnya beraksi bersama rakan-rakan dan selepas itu, dia dikejarkan ke hospital kerana rebah. Tidak serik, malah Faizul sehingga ke hari ini akan bermain futsal apabila datang keinginan untuk berbuat demikian.

Merangkak Dengan Usus Terburai

Tamat pengajian diploma di sebuah universiti di Pantai Timur, Faizul bekerja sementara di sebuah kilang aiskrim di Balakong. Pada hari kejadian, Faizul bersama seorang lagi rakan sekerja ditugaskan menghantar stok aiskrim ke Johor. Dia dan pemandu yang dipanggil abang Alias berusia 40-an menaiki lori lapan tan memulakan perjalanan seperti biasa tengahari 20 Disember.

Entah kenapa hati Faizul rasa tidak sedap apabila abang Alias tidak banyak bercakap pada hari itu. Temannya itu hanya diam memandu tidak berjenaka seperti selalu. Dalam perjalanan, tiba- tiba abang Alias memberitahu mahu singgah sebentar di rumahnya di Kajang untuk mengambil barang dan solat Zuhur, kemudian meruskan kembali perjalanan.

“Sampai di tol Kajang, abang Alias memberhentikan lori di sebuah kedai makan dan ajak makan tengahari. Lepas tu, kami sambung balik perjalanan. Tapi saya pelik kenapa dia tidak keluar ikut tol Kajang sebaliknya ikut tol Bangi yang lagi jauh. Bila saya tanya, dia kata tak mengapalah, saja nak jalan-jalan,” Faizul agak sangsi dengan jawapan abang Alias.

Walaupun terdetik di hati Faizul untuk mempertikaikan tindakan rakannya itu namun dia memilih untuk berdiam diri dan hanya menuruti keputusan abang Alias yang masih bisu memandu.

Faizul membatu di tempat duduk penumpang di sebelah abang Alias dan sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan itu Faizul terlelap. Matanya tiba-tiba terjaga apabila terdengar bunyi brek lori ditekan kuat dan waktu itu semuanya berlaku dengan sangat pantas.

“Sampai di kawasan Tangkak, lebih kurang jam 4 petang kami kemalangan. Saya tidak pasti bagaimana lori yang dipandu abang Alias boleh terbabas dan terbalik di bahu jalan. Sedar-sedar lori lapan tan itu sudah terbalik dan saya sudah tersepit di celah-celah kerusi dan dashboard. Saya jadi blank akibat hentakan yang kuat.

“Abang Alias kaku di tempat duduknya. Saya cuba memanggil-manggil namanya namun suara saya tersekat di celah kerongkong. Kepala saya sudah mula berpusing dan anak mata saya berpinar-pinar tidak mampu untuk melihat dengan jelas.

“Cecair panas yang disangka peluh jantan rupanya darah mengalir laju dari atas kepala membasahi seluruh wajah saya. Luka-luka di kepala dan muka sudah tidak memberi kesan dan saya langsung tidak rasa sakit. Kaki yang tersepit cuba diangkat kemudian saya dapat rasakan perut dibasahi lendir dan darah. Segumpal usus terburai keluar dari isi perut yang sudah terbelah separuh. Ya Allah, apa yang telah berlaku pada aku,” Faizul bermonolog dan bertawakal.

Bersisa kudrat yang masih tinggal, Faizul memeluk ususnya yang sudah bercampur darah dan lendir ke dalam pelukan dan menarik sekuat hati kakinya yang tersepit untuk merangkak keluar dari perut lori. Faizul tidak dapat berfikir apa-apa kecuali dia ingin beralih ke tempat yang lebih selesa untuk merebahkan badan. Abang Alias tidak diketahui masih bernyawa ataupun tidak. Di bahu jalan, Faizul terbaring berlumuran darah dan matanya semakin tertutup rapat.

Nyawa Di Hujung Rambut

50-50…60-40…Faizul terdengar perbualan doktor dengan beberapa jururawat yang bercakap tentang risiko pembedahan ke atas Faizul. Mereka berhempas pulas mencuba sedaya-upaya menyelamatkan nyawa Faizul dalam bilik pembedahan di hospital. Sama ada nyawa Faizul dapat diselamatkan atau tidak, hanya Allah Yang Maha Mengetahui.

Lebih kurang jam 11 malam, apabila mata dibuka wajah ibu memandang sayu ke anak mata Faizul. Tahulah Faizul bahawa dia sudah selamat menjalani pembedahan. Bibirnya terkumat-kamit ingin sekali memanggil nama ibunya namun tiada suara yang mampu dikeluarkan. Faizul terbaring lemah.

“Saya dapat rasa ketidakselesaan pada bahagian perut saya kesan daripada pembedahan. Perasaan saya bercampur cuak, sedih, gembira dan bersyukur kerana Tuhan masih memberi saya kesempatan untuk melihat wajah ibu.

“Doktor kata saya bernasib baik kerana usus tidak rosak hanya tercalar sedikit. Tetapi limpa saya terpaksa dibuang kerana sudah pecah. Saya hanya perlu kuatkan semangat supaya cepat sembuh. Doktor nasihatkan membuat pergerakan ringan sedikit demi sedikit agar otot-otot badan saya tidak mudah kejang,” cerita Faizul.

Dari ICU, Faizul dipindahkan ke CCU kemudian ke wad biasa. Sembilan hari menghuni katil hospital Faizul dibenarkan keluar. Kesihatannya semakin baik tetapi perlu menelan 18 biji ubat setiap hari.

Dengan sokongan tidak berbelah bahagi seluruh ahli keluarga, Faizul bangkit melawan kesakitan dan dalam tempoh setahun mengikut kata doktor, kesihatan Faizul dapat kembali pulih sepenuhnya.

Dan hari ini Faizul ‘hidup’ kembali sementara abang Alias pergi menghadap Ilahi dalam kejadian tersebut.

Cuma kadang-kadang apabila stres atau bergerak aktif, Faizul mudah diserang sakit di bahagian tertentu tubuh badannya. Ada kalanya pendarahan pada perutnya berulang, bernanah dan berair. Sendi bahunya juga mudah ‘lari’ jika tersilap pergerakan tetapi Faizul sudah serasi dengan keadaan itu dan tidak terlalu mengganggu aktiviti sehariannya.

Hikmah Kejadian Kini Lebih Rapat Dengan Keluarga

Sejak di tingkatan satu lagi, Faizul terpaksa berjauhan dengan keluarga yang tinggal di Selangor kerana bersekolah asrama di Bagan Datoh, Perak. Selepas tamat SPM, Faizul kemudian melanjutkan pelajaran peringkat diploma di UiTM di Pahang.

Masa bersama keluarga agak terbatas dan hanya berpeluang berjumpa keluarga apabila musim cuti sekolah dan cuti semester sahaja.

Sejak kemalangan yang hampir meragut nyawanya, Faizul mendapat semula masa yang hilang bersama ahli keluarganya satu waktu dulu. Hubungan dengan iIbunya, Che Timah Nor dan ayah, Mohd Isa Salleh serta tiga lagi adik beradiknya kini semakin erat. Faizul amat bersyukur kerana tragedi yang menimpanya sebenarnya membawa hikmah yang begitu besar yang tidak disedari selama ini.