Cendawan telinga kera, juga dikenali dengan nama lain iaitu fungus hitam dan cendawan jeli hitam. Banyak khasiat cendawan telinga kera ini antaranya boleh merawat gangguan kardiovaskular dengan memecahkan darah beku di dalam jantung manusia, menurunkan tekanan darah, merendahkan paras kolesterol, menurunkan kadar gula dalam darah, dan juga lipid.

Menariknya ada yang mengatakan cendawan ini mampu membantu mengurangkan berat badan tau! Cendawan jenis ini boleh di dapati dalam bentuk segar mahupun kering. Rasanya sedikit liat, lembut dan licin. Enak jika dimasukkan dalam  sayur campur, sup ayam atau pun masak lemak cili padi. Tapi ada satu kepantangan untuk masak cendawan ini. Pantangnya, jangan campur lada hitam atau lada sulah kerana nanti rasanya akan jadi pahit!

Cendawan Telinga Kera yang segar.

Secara saintifiknya, cendawan jenis ini telah diuji pada tahun 1789 oleh Jean Baptiste François (Pierre) Bulliard, dan menamakannya Tremella auricula-judae. Selain tumbuh dan hidup secara semula jadi, cendawan ini ditanam secara komersial di Barat Ghats, Kerala, India dan beberapa tempat di China atas tujuan sumber perubatan.

Cendawan ini pernah juga dinamakan telinga kayu, telinga Yahudi dan telinga Judas dan kemudiannya ditukar nama kepada telinga jeli. Fungus jenis ini banyak tumbuh di Eropah, Utara Amerika, Asia, Australia, Selatan Amerika dan Afrika.

Di Nepal, telinga kera ini tidak mendapat tempat di kalangan masyarakat Nepal, malah ia diiktiraf sebagai fungus yang paling teruk dan paling tidak sedap untuk dimakan. Jom kita try masak sayur campur telinga kera.

SAYUR CAMPUR TELINGA KERA
BAHAN

1 keping dada ayam – potong kasar
1 cawan cendawan telinga kera segar – bersihkan
½ batang lobak merah – hiris bulat nipis
1 biji lada benggala merah – hiris nipis
½ cawan kacang sepat
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar stok ayam
1 sudu besar tepung jagung – cairkan dengan sedikit air
1 labu bawang besar – hiris bulat
3 ulas bawang putih – cincang
Garam

CARA PENYEDIAAN :
1.Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih hingga naik bau.
2.Masukkan ayam dan masak hingga empuk.
3.Kemudian masukkan semua sayur-sayuran dan bawang besar.
4.Besarkan api dan goreng seketika hingga sayur sedikit layu.
5.Kemudian masukkan sos tiram, stok ayam dan tepung jagung.
6.Kacau sebati dan secukup rasa. Tambahkan garam jika tidak cukup masin.