Kebiasaannya kita masak asam pedas ikan atau ayam kan, tapi kali ini kita ubah pula dengan kambing. Agak jarang orang masak, menggunakan kambing. Resipi yang dikongsikan oleh Cef Kamarul Hasni ini, sangat sedap dan boleh dihidangkan jika ada tetamu yang bertandang ke rumah kita.

Antara cara yang mudah ialah dengan menggunakan kaedah periuk tekanan (pressure cooker) kerana lebih cepat dan menjimatkan masa untuk disediakan. Tapi kalau tiada periuk tekanan, boleh saja reneh kambing di atas dapur biasa. Cuma pastikan kambing dimasak dengan api sederhana sehingga betul-betul empuk. Barulah sedap…!

Kambing Masak Asam Pedas Nyonya

BAHAN
1 batang serai
4 tangkai akar daun ketumbar
1 kuntum bunga kantan
2 tangkai daun kesum
1 kg daging kambing
3 sudu besar pes asam jawa
2 biji tomato
3 sudu besar minyak masak
500 ml air
Sedikit lada putih
Garam
BAHAN KISAR
2 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
3 cm halia
2 cm lengkuas
8 tangkai cili kering
3 cm belacan
REMPAH KASAR
½ sudu kecil halba
½ sudu kecil jintan manis
½ sudu kecil lada hitam

CARA PENYEDIAAN :

1.Kisat bahan kisar sehingga hancur.

2.Sangai halba, jintan manis dan lada hitam. Kemudian kisar kasar.

3. Panaskan minyak, tumiskan halba, jintan manis dan lada hitam seketika.

4. Masukkan bahan kisar, bunga kantan, serai, akar daun ketumbar dan tumis sehingga wangi.

5.Kemudian masukkan daging kambing dan gaul rata. Jika menggunakan periuk tekanan, masukkan sedikit air dan masak sehingga daging empuk mengikut fungsi periuk tekanan anda. Jika menggunakan periuk biasa, masak dengan api sederhana sehingga empuk.

6.Masukkan daun kesum dan kacau rata. Tuangkan air, garam dan lada putih.

7.Masukkan pula pes asam jawa dan buah tomato. Gaul rata dan bolehlah dihidangkan.