PEMPENGARUH yang kini bergelar penyanyi akui terkesan dengan komen Ajai yang meminta dia untuk tidak meneruskan kerjaya nyanyian selepas membuat persembahan dalam program All Together Now Malaysia musim kedua (ATNM 2), baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, Syafiq,28, tetap berlapang dada dan menerima dengan terbuka kritikan yang datang daripada seorang yang berpengalaman dalam muzik.

“Bila Ajai suruh saya jangan jadi penyanyi di hadapan juri-juri lain yang ramai di studio, sejujurnya saya terbuka dengan pendapat yang diberikan kepada saya.

“Sebab mungkin itu yang mereka nampak. Tapi program ini hanya satu persembahan yang saya persembahkan. Sedangkan dibelakang saya ada ramai orang yang percaya yang sebenarnya saya ada bakat dalam nyanyian.

“Sebab itulah saya yakin untuk menyanyi dalam program tersebut walaupun saya tak nafikan komen Ajai agak ‘pedas’ dan sangat menusuk di hati,” katanya kepada URTV.

Ajai yang merupakan salah seorang barisan juri ANTM2 memberi komen kepada Syafiq untuk tidak meneruskan menjadi penyanyi selepas membawakan lagu Misha Omar iaitu Tiada Lagi Tangisan.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Demi kesihatan mental, Syafiq Naser enggan ambil kisah komen negatif

Syafiq hanya mengutip lapan markah sekaligus tidak melayakkan dirinya untuk mara ke pusingan akhir.

Meskipun mendapat komen yang agak ‘pedih’, namun Syafiq tetap optimis dan akan cuba untuk memperbaiki kelemahan diri demi cintanya terhadap bidang seni.

“Bila saya baca komen-komen netizen di media sosial, memang sejujurnya saya rasa malu dengan diri sendiri. Jadi, apa yang saya boleh buat ialah perbaiki kelemahan diri pada masa akan datang.

“Saya kena belajar lagi mantapkan vokal sebagai seorang penyanyi. Saya harap Ajai akan nampak perkembangan saya itu satu hari nanti.

“Orang yang mengenali Syafiq Naser yakin yang saya boleh buat yang lebih baik. Mungkin ketika itu keadaan dan waktu tidak sesuai. Ada juga yang komen lagu yang saya bawakan dalam ANTM2 tak sesuai dengan saya.

“Tapi jujur cakap, peratus orang yang bagi sokongan lebih banyak berbanding mereka yang meninggalkan komen-komen kecaman,” ungkapnya.

Untuk rekod, Syafiq sudah memiliki dua single iaitu Lenggang dan Malu.