PADA tahun 1879, Thomas Alva Edison telah berjaya mencipta lampu elektrik ataupun dikenali dengan lampu pijar. Pada permulaannya, Thomas menjalankan kajiannya dengan menggunakan platinum dan logam untuk dijadikan filamen. Tetapi hasilnya tidak memberangsangkan.
Dia meneliti semula kajian-kajian yang lepas dan mengambil keputusan untuk mengguna kembali filamen karbon. Hasilnya, cahaya mampu bertahan selama 40 jam. Thomas terus memperhalusi rekaannya. Kajian demi kajian akhirnya dia berjaya menemui filamen buluh dikarbonkan yang boleh bertahan selama 1,200 jam.
Bermula dari situ, teknologi lampu elektrik semakin berkembang mengikut peredaran zaman. Bermula dari lampu pijar, lampu pendarfluor ataupun lampu kalimantang, light-emitting diodes (LED), High-intensity discharge (HID) dan bermacam-macam-macam lagi rekaan terkini. Semua itu bermula dari titik tolak kajian yang dibuat oleh Thomas.

Tetapi, bagaimana pula pada zaman sebelum itu? Apakah teknologi diguna pakai orang terdahulu sebelum Thomas berjaya menemui lampu elektrik?
Jika dilihat kepada beberapa penemuan saintis dan ahli arkeologi, sebenarnya dunia zaman dahulu juga telah ada teknologi mereka sendiri. Ribuan tahun dahulu, kerajaan Mesir Purba juga mempunyai teknologi yang tak kurang maju seperti sekarang.
Buktinya adalah dengan penemuan pelbagai ukiran dan corak pada permukaan dinding Kuil Hathor di Kompleks Kuil Dendera Mesir. Rekaan ukiran tersebut menunjukkan bahawa masyarakat Mesir purba mendapatkan sumber cahaya melalui penggunaan mentol dan lampu arka.
Kajian secara teliti telah dilakukan terhadap gambar-gambar yang terdapat di kuil tersebut. Hasilnya menunjukkan bahawa penebat bervoltan tinggi telah diguna pakai, struktur itu disokong pula oleh tiang berbentuk segi empat bujur yang menyerupai sebiji mentol dan dikenali sebagai Djed Column. Penemuan ini antara yang menakjubkan kerana reka bentuk mentol lampu yang kita gunakan pada hari ini mempunyai ciri yang sama pada zaman Mesir purba.


Lantaran itu, Walter Garn, seorang jurutera elektrik Austria telah menjalankan beberapa kajian terhadap ukiran yang terdapat pada permukaan dinding itu dengan lebih terperinci.
Dia merekonstruksi semula penebat Djed Column, mentol dan pintalan wayar seperti mana yang terdapat pada ukiran tersebut yang juga digelar sebagai ‘Lampu Dendera’. Dan hasilnya adalah model yang dibina oleh beliau berfungsi dan memancarkan cahaya. Ini bermakna tamadun Mesir purba sudah pun mencapai satu tahap teknologi sama seperti sekarang.
Pada tahun 1996, dalam satu saluran dokumentari yang diterbitkan oleh Amerika ABC, sistem pencahayaan yang diukir di dinding kuil tersebut diuji semula oleh para saintis di hadapan kaca televisyen untuk membuktikan kepada semua tentang kebenaran perkara tersebut. Berdasarkan eksperimen itu, ternyata model yang ditiru dari ukiran yang terukir di dinding kuil tersebut mengeluarkan cahaya.

Satu lagi lukisan yang terdapat pada kuil itu menggambarkan empat lampu berfilamen dan seutas kabel yang bersambung dari satu bateri elektrik gergasi. Bateri tersebut telah menjanakan tenaga elektrik dan disalurkan kepada lampu-lampu tersebut lalu menghasilkan sumber cahaya.
Kajian dan pemerhatian yang mendalam pada ukiran itu mendapati bahawa kabel elektrik yang menghubungkan bateri dengan lampu, diselaputi dengan manik-manik kecil yang sejajar. Manik-manik tersebut digunakan sebagai penebat bagi mengalirkan tenaga elektrik.
Sumber pencahayaan tamadun Mesir purba dihasilkan melalui penggunaan mentol klasik yang pernah diguna pakai pada hari ini. Pelbagai gambaran masyarakat Mesir yang menunjukkan penggunaan peranti seumpama mentol dengan wayar-wayar filamen, pemegang dan wayar arus elektrik.
Hal ini dapat dibuktikan dengan satu ukiran yang menggambarkan seorang individu yang sedang membaca teks dengan menggunakan lampu yang terdapat pada tangannya bagi menerangi kawasan di sekelilingnya.
Ukiran tersebut jelas menunjukkan bahawa filamen yang menghasilkan aliran elektrik di dalam lampu yang dipegang oleh orang Mesir itu sama seperti mentol yang ada pada hari ini, filamen yang digunakan oleh penduduk Mesir purba adalah berbentuk lingkaran.
Lingkaran filamen yang dipanaskan oleh arus elektrik ini akan menghasilkan sumber pencahayaan, sama seperti lampu filamen yang pertama yang dicipta oleh Thomas Edison dan dapat dilihat bahawa lampu yang direka oleh beliau memiliki ciri dan reka bentuk yang menyerupai dengan lampu yang dipegang oleh orang Mesir itu.
Sekalipun ia masih menjadi perdebatan di kalangan ilmuwan, tetapi sebenarnya telah banyak bukti ditemui tentang orang zaman dahulu yang juga mempunyai teknologi yang maju dalam kehidupan mereka.
Jika dilihat dalam pelbagai ukiran di tinggalan arkeologi Mesir, dapat dilihat bahawa orang Mesir purba dulu sudah pun mencapai satu tahap teknologi yang tinggi. Bukan sekadar lampu, tetapi juga kenderaan, kalkulator, cakera padat, kanta dan banyak lagi.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram
FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare