Keganasan rumahtangga bukan hanya berkait sentuhan fizikal, namun ia turut melibatkan penderaan mental dan emosi. Walaupun sebelum berkahwin golongan wanita ini punya kerjaya dan berpendidikan tinggi, namun masalah rumahtangga yang dihadapi menyebabkan mereka terus tenggelam dalam dunia sendiri. Ada kalanya stigma yang ditanam masyarakat sekeliling berkait ‘aib suami’ antara punca mangsa lebih gemar menyendiri dan menyimpan kemas masalah yang dihadapi.
Ikuti perkongsian Sayidah Mu’izzah akan realiti penderitaan yang dihadapi golongan isteri yang hilang arah akibat penderaan mental secara berterusan dalam perkahwinan.
“Di depan saya, adalah kes-kes realiti. Bukan setahun dua yang dihadap. Ada yang bertahun-tahun.
Mereka ini para isteri yang berpendidikan tinggi, gaji besar, kerja bukan calang-calang. Mereka yang saya kenal, sebelum kahwin, sihat akal fikir.
Tetapi, mereka jadi tak sihat setelah tersalah hidup serumah dengan seekor syaitan.
Mental torture is real. Tak perlu setahun perkahwinan pun untuk hilang rasa hormat dan nilai diri sendiri. Cukup seminggu kahwin.
Seperti ada satu tembok besar yang mereka letakkan di hadapan, mata saya rasa terhijab memandang mereka sampai saya terpaksa ‘sibuk’ menggerudi tembok tadi.
Ada yang cuba meminta tolong tetapi, bayanglah kerana orang asyik doktrin ‘tutup aib suami’, suaranya antara dengar dan tidak.
Bayanglah, perempuan sihat akal yang boleh sama-sama bersembang hal keilmuan, jadi orang yang hilang.
Malah selepas bercerai pun, kita tak dapat bayangkan, apa yang ada dalam diri mangsa.
Kadang-kadang, apa yang kita cakap pun, mereka akan fikirkan persamaan ayat kita dengan si syaitan pendera. Sebab mereka sudah dibasuh dengan rasa ‘rejected, not deserved to be loved’.
Sebegitu teruk fikiran yang sihat tadi didera, menjadi tidak sihat. Sampai satu tahap, kita rasa macam tak ada apa dah yang boleh dibuat. Sebab mereka hancur berkecai di dalam. Kita cuba nak cantum satu serpihan nilai dirinya, serpihan belah keyakinannya pula jatuh. Berderai, jadi lebih kecil.
Dengan masyarakat yang meletak salah terlalu banyak di bahu isteri asbab tersimpan seekor setan di rumah, mana tidaknya isteri meraung di media sosial.
Dituduh pula buka aib suami. Betapa ramainya ‘enabler’ di sekeliling, termasuk keluarga mentua, yang tak mahu mengaku ‘sperma dan telur rosak’ mereka melahirkan seekor syaitan.
Sampai satu tahap, sekuat apapun saya mencuba sebagai kawan, ada waktu saya kecewa dengan diri sendiri apabila melihat mangsa.
Suami kalau tak suka isteri, dia mahu cerai, dilafaz cerai. Isteri kalau terpaksa menghadap setan bertopeng suami, kita sendiri derita melihat mereka melalui proses menuntut cerai.
Isteri cerminan suami. Saya percaya ini. Noktah.
Kalaulah cermin ini yang boleh dipecahkan begitu saja, dan bukan segala apa yang ada dalam diri mereka.”
Kredit : Sayidah Mu’izzah