Makan kalau tak pedas, tak syoklah! Sambal kalau tak pedas, bukanlah sambal namanya tu.. Pernah tak dengar, kata-kata itu. Itu baru betul, pecinta cili. Biarpun rasanya pedas, tapi banyak khasiat cili yang ramai tak tahu.
Cili kaya dengan vitamin A, B, C kompleks, protein, karbohidrat dan karoten. Dalam cili terkandung satu enzim capsaicin yang boleh melawan penyakit ulser dan kanser.

Ramai berpendapat bila kita sakit perut, sebaiknya elakkan makanan yang pedas kerana ia boleh menambah lagi sakit. Tetapi pendapat itu bertentangan dengan satu kajian, kerana mereka percaya cili dapat merawat sakit perut dan bukan menambah sakit. Bahkan sebuah kajian mendapati, ia juga rahsia kepada panjang usia.
Daun cili pula, boleh menyembuhkan bisul dan luka. Caranya dengan menempelkan daun cili yang telah dilumatkan pada bisul, luka ataupun kurap.
Jika anda mengalami masalah sakit sendi, sengal otot, ambil daun cili dan layurkan, kemudian tekap pada bahagian yang sakit. Cili juga boleh mengurangkan tekanan darah tinggi, dengan cara minum air rebusan akarnya.

Lada benggala yang dikategorikan sebagai cili juga mempunyai khasiat yang tersendiri. Lada yang berwarna merah, hijau dan kuning ini mempunyai rasa yang kurang pedas, tetapi manis dan boleh dipelbagaikan dalam masakan. Selain dimakan mentah sebagai sayuran dalam salad, ia juga boleh dimasak.
Kandungan khasiat yang terkandung dalam lada benggala ialah, vitamin C, A, E, P, B1, B2, solanin, protein dan karoten.
Lada yang berwarna merah mengandungi vitamin C yang tinggi berbanding lada berwarna hijau dan kuning. Lada berwarna kuning lebih manis dan lada berwarna hijau agak pahit berbanding yang lain.
Ia lebih berkhasiat jika dimakan mentah serta baik untuk mata, kulit, melawan jangkitan, menurunkan tekanan darah rendah, mengurangkan kolestrol dan membakar kalori, menyembuhkan demam, mengurangkan berat badan serta membantu sistem pencernaan.