Aromanya…ah! Bagaimana ya hendak digambarkan dengan kata-kata. Cuba bayangkan kopi itu tanpa aroma, sudahlah hitam warnanya…percayalah pasti orang takut hendak minum. Mungkin, takut hitam kulit. Kehebatan kopi terletak pada aromanya yang mengasyikkan.
Bagi sesetengah orang, rasanya satu hari belum terasa lengkap jika tidak minum secawan kopi. Apatah lagi jika dia memang pencinta kopi. Seboleh mungkin, hangat kepahitan kopi mesti dirasai. Bagi yang merasa lesu atau mengantuk, secawan kopi pastinya sangat bermanfaat untuk kembali menyegarkan badan dengan nikmat aroma kopi.
Saat ini semakin mudah kita menikmati secawan kopi. Kedai kopi yang murah hingga ke kafe yang mahal bertebaran di mana-mana. Starbuck, Kopitiam, Gloria Jeans, Oldtown White Coffee, Zus Coffe yang jadi perbualan kini dan pelbagai lagi kafe dengan perisa kopi yang pelbagai boleh didapati seakan cendawan tumbuh seusai hujan. Itu belom lagi yang buka khemah tepi jalan dengan pelbagai nama unik seperti kopi tonggek, kopi pojok, kopi kaw ikat tepi, kopi dua darjat dan banyak lagi nama-nama yang ada.
Membuat kopi sendiri juga semakin mudah kerana kopi-kopi segera dengan pelbagai perisa dan rasa begitu banyak di pasaran. Kopi hitam dengan gula, kopi hitam campur susu atau krimer, kopi dengan tongkat Ali, kopi Kacip Fatimah dan pelbagai lagi varian lainnya. Tinggal anda pilih yang paling sesuai dengan selera anda.
Ibarat hikayat kisah seribu satu malam, begitulah cerita di sebalik kopi. Terlalu banyak yang boleh diperkatakan tentang minuman ini.
Ada yang menggemari rasanya yang kelat pahit. Ada yang menyukai aroma baunya yang pekat melekat. Bahkan ada juga yang menjadikan kopi sebagai sumber tenaga tambahan untuk berjaga sepanjang malam. Dan tidak kurang pula yang menjauhinya dek kerana kafein yang terkandung di dalam kopi.
Hakikatnya kopi adalah minuman paling ajaib di dunia. Ia diminum oleh segenap lapisan masyarakat, bangsa dan agama.
Memikirkan tentang kopi, mungkin yang terlintas di minda ialah Italian espresso, caramel macchiato, cappuccino, dan lain-lain perisa yang datangnya dari dunia barat. Tanpa kita sedar, terus mengatakan kopi adalah budaya yang dibawa dari barat.
Namun, hakikatnya tidak begitu, ia berakar umbi dari Kepulauan Arab. Budaya minuman kopi sendiri adalah budaya yang dibawa oleh umat Islam yang akhirnya menjadi budaya seluruh dunia.
Kopi… anggur dunia Islam
Sejarah tentang kopi mempunyai versi yang pelbagai, namun dari sumber-sumber yang dihimpunkan, terutama dari penulisan John Mchugo dalam bukunya “A Concise History of the Arabs” negara Yaman disebut-sebut sebagai tempat pertama yang membudayakan minuman kopi. Dari perkiraan, sekitar abad ke-11 kopi sudah terkenal di Kepulauan Arab.
Istilah kopi bermula daripada perkataan Arab iaitu qahwah atau qaha. Istilah ini diguna pakai merujuk kepada tiada kelaparan, mungkin disebabkan minuman ini dapat mengurangkan selera makan.
Ada juga yang memberi erti qahwah dengan maksud kuat kerana ia memberi tenaga tambahan kepada peminumnya. Bahkan ada juga yang menisbahkan qahwa sebagai anggur. Kerana itu orang Eropah mengatakan kopi sebagai minuman terkenal dari Arab, yang mereka menyebutnya sebagai anggur dunia Islam.
Tatkala minuman ini sampai di Turki, orang Turki menyebutnya sebagai kahveh. Kata kahveh ini kemudian diserap menjadi kata koffie menurut istilah orang Belanda. Kemudian menjadi coffee (Inggeris) dan akhirnya kopi bagi bahasa kita.
Dari Yaman, kopi mula melalui perjalanan yang jauh menuju ke Parsi, Mesir, Syam, dan Turki. Kedai-kedai kopi muncul dengan banyak sebagai tempat menikmati kopi dan berkumpul sesama mereka. Dan bermula dari itulah budaya minuman kopi telah diserap masuk ke dalam budaya Arab.
Budaya ini turut meluas ketika musim haji setiap tahun. Jemaah haji yang datang dari seluruh dunia mula menyebar dan memperkenalkan minuman kopi hingga ke tempat-tempat yang jauh. Dari situ bermulalah perjalanannya menguasai kepulauan Arab, Eropah serta merentasi pelbagai lautan menuju ke pelosok dunia.
Al-Jaziri seorang ahli sejarawan Arab ada menukilkan kisah tentang budaya minum kopi di kalangan bangsa Arab di Mekah. Menurutnya, “kopi bahkan disajikan di Masjidil Haram. Bagi mereka sangat jarang sekali jika majlis-majlis zikir dan qasidah tanpa adanya hidangan kopi”
Budaya minum kopi terus mendapat sokongan yang kuat dari pelbagai lapisan masyarakat Arab. Tidak terkecuali Universiti al-Azhar salah sebuah universiti terkemuka era itu turut menjadi pusat berkembangnya budaya minuman kopi. Setiap pertemuan ilmu dan keagamaan, pastinya akan ada hidangan kopi yang menemani.
Bagi Ibn Abd. al-Ghaffar pula menceritakan dalam tulisannya mengenai suasana pertemuan para cendekiawan di Mesir. Katanya,
“mereka minum kopi setiap Isnin dan Jumaat. Menyajikannya dalam wadah yang besar terbuat dari tanah liat merah. Sang pemimpin kemudian mencedok minuman itu dan membahagikan kepada pengikutnya mulai daripada sebelah kanan sambil mereka berzikir dengan lafaz-lafaz tertentu. Lazimnya kalimah yang sering diucapkan adalah kalimah “La Ilaha illallah.”
Amalan ini semakin diterima ramai. Mereka bukan sahaja dapat menghirup hangatnya kepahitan kopi, bahkan mereka juga turut dapat bersama-sama berhibur dengan lagu-lagu qasidah memuji Tuhan.
Di sebabkan masyarakat Arab menggemari minuman kopi, seorang ulama terkenal iaitu Hassan al-Banna telah mengambil kesempatan menyebarkan dakwahnya di kedai-kedai kopi. Beliau tidak menyebarkan dakwahnya di masjid kerana mahu menumpukan pada penyebaran dakwah bagi golongan yang tidak ke masjid.
Hasil daripada usaha yang dilakukannya itu, penyebaran Islam tersebar secara semula jadi dan semakin ramai ke kedai kopi untuk mendapatkan ilmu dari Hassan al-Banna.
Ini Minuman Ahli Sufi
Kopi dianggap sebagai sumber dari segala kekuatan. Para ahli sufi memerlukan minuman ini dalam proses mendekatkan diri kepada Allah melalui solat dan zikir. Bagi mereka, menghirup kehangatan kopi sebelum solat atau zikir, ia dapat membantu memberi lebih tumpuan ketika beribadah sepanjang malam.
Syaikh Ibnu Ismail Ba’alawi seorang ahli sufi mengatakan bahawa kopi membantu manusia untuk mengalami “qahwat al-Suffiya” atau suka cita kerana umatnya diperkenankan untuk menguak misteri pewahyuan Ilahi.
Ramai ulama membincangkan tentang kopi yang pada prinsipnya, mereka menggemari kopi kerana minuman tersebut menjadikan mereka lebih giat beribadah, terutama ketika malam hari pada saat manusia sedang tidur. Tumpuan mereka kepada ibadah lebih jelas tanpa ada perasaan mengantuk. Secara tidak langsung ia menjadikan hati mereka rasa tenang kesan daripada minuman kopi.
Antara ulama dan ahli sufi yang begitu menyanjung kopi seperti Abu Bakr bin Abdullah al-Idrus, Abdurrahman bin Aliy, Syeikh bin Ismail, Ahmad bin Alawy Bajahdab, Abu Bakr bin Salim, Abdullah bin Alawy al-Hadad dan ramai lagi.
Sanjungan mereka terhadap kopi menghasilkan bait-bait syair indah tentang kopi antaranya, “Kopi memang hitam tapi menyalakan semangat, Bahkan memancarkan cahaya.”
Seorang ahli Sufi yang bernama Syadhili Abu Bakr ibn Abdullah al-Idrus turut menulis sebuah lagu qasidah sebagai penghormatan terhadap kopi. Wallahu a’lam
___________________________________________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’