PELAKON Nad Zainal kini sah bergelar isteri kepada aktor Ungku Ismail Ungku Aziz pada 23 Januari bersamaan dengan 1 Rejab 1444 Hijrah.

Nad atau Farah Nadia Zainal Abidin,33, berkongsi berita gembira itu menerusi akaun Instagram miliknya.

Menerusi entri terbabit, pelakon Cina Buta itu memuat naik video dan beberapa keping foto ketika majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur.

Malah, menerusi salah satu gambar yang dimuat naik, jelas kelihatan tarikh pernikahan mereka dan mas kahwin bernilai RM 1,000.

“Alhamdullilah,” tulis Nad ringkas di kapsyen.

Dalam pada itu, Ungku ,37, turut berkongsi video sama seperti isterinya itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Paru-paru berdarah, Nad Zainal terpaksa ditidurkan, Nad Zainal muncul di sesi ’live’ TikTok buat pertama kali selepas sebulan di hospital, kongsi keadaan terkini

Ruangan komen kedua pasangan ini dibanjiri dengan ucapaan tahniah daripada rakan artis dan peminat yang mendoakan agar mahligai yang dibina akan berkekalan selamanya.

Kemesraan pasangan ini mula ‘dihidu’ selepas Ungku mengaku Nad adalah wanita paling rapat dengannya.

Ungku juga sentiasa berada di sisi Nad sepanjang aktres itu dirawat di hospital akibat jangkitan paru-paru pada 20 November lalu.

Pelakon lelaki tinggi lampai itu juga menjadi wakil keluarga Nad untuk berkongsi perkembangan kesihatannya kepada pihak media dan orang ramai.

Untuk info, Nad pernah bernikah dengan Muhammad Faliq pada 18 Disember 2015 sebelum bercerai pada 2022.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak iaitu Fahad Ibrahim,7 dan Budi Kalsom yang kini berusia dua tahun.